Penjual durian kampung, Mohd Rafiz Rosli, 33 dan  Mohd Azim Ahmad, 35, (depan) menggunakan kreativiti memakai costume 'spiderman' untuk menarik perhatian pembeli ketika menjual durian di Gambang. FOTO  ROSELAN AB MALEK
Penjual durian kampung, Mohd Rafiz Rosli, 33 dan Mohd Azim Ahmad, 35, (depan) menggunakan kreativiti memakai costume 'spiderman' untuk menarik perhatian pembeli ketika menjual durian di Gambang. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


ORANG ramai yang melalui stesen minyak di Gambang, Kuantan pasti tertarik melihat lelaki memakai kostum Spiderman memegang durian dan melaungkan 'durian, durian'.

Usaha itu dilakukan dua anak muda dari Jerantut, Mohd Rafiz Rosli, 33, dan rakannya, Mohd Azim Ahmad, 35, yang berniaga durian bagi menarik perhatian orang ramai untuk singgah membeli durian kampung dijual mereka.

Mohd Rafiz berkata, ketika ini, musim durian berbuah di Kampung Ulu Cheka, Jerantut dan mereka mengambil kesempatan berniaga durian kampung dengan memborong durian penduduk.

"Sebenarnya, sebelum ini, saya menjual ais krim di pekan sehari dan pasar malam sekitar Jerantut dan Jengka serta sering memakai kostum ini untuk menarik perhatian kanak-kanak.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, saya hilang punca pendapatan kerana tidak boleh berniaga ais krim," katanya.

Menurutnya, mereka mengambil keputusan menjual durian kampung dari sekitar Jerantut kerana harganya lebih murah berbanding durian klon.

Katanya, mereka tidak mampu memborong durian klon seperti Musang King, 101, D24 serta Tok Litok kerana memerlukan modal besar.

"Bagi menarik perhatian pembeli singgah, kami perlu membuat sesuatu yang berbeza dan akhirnya mendapat idea untuk memakai kostum Spiderman.

"Selepas Subuh, kami akan ke Kampung Ulu untuk mengambil durian sebelum bergegas semula ke Kuantan dan menjualnya berdekatan stesen minyak di Gambang sejak tiga hari lalu," katanya.

Menurutnya, walaupun terpaksa berulang hampir 400 kilometer pergi balik setiap hari, ia tidak mematahkan semangat mereka mencari rezeki halal khususnya selepas terkesan akibat Covid-19.

Katanya, durian kampung dijual pada harga RM9 hingga RM15 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 2:36 PM