PETAI yang dijual oleh  Minachi dan Vikneswaran dibeli orang ramai dekat kawasan parkir motosikal di sekitar pekan Slim River.
PETAI yang dijual oleh Minachi dan Vikneswaran dibeli orang ramai dekat kawasan parkir motosikal di sekitar pekan Slim River.
Oleh Rosman Shamsudin


Slim River: Walaupun usia sudah melewati tujuh dekad dan sudah bergelar nenek namun ibu tunggal, K Minachi,70, masih lagi mampu mengerah kudrat bekerja bagi mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Setiap hari Khamis, Sabtu dan Ahad, dia ditemani anak lelakinya, S Vikneswaran, 42, dengan hanya menunggang motosikal menjual petai dekat parkir motosikal di sekitar pekan Slim River.

Pada hari lain pula, dia akan menemani anaknya lelakinya menjalani rawatan hemodialisis di Pusat Hemodialisis Sungkai sebanyak tiga kali seminggu akibat penyakit buah pinggang yang dihidapi anaknya sejak 13 tahun yang lalu.

Minachi berkata, dia mula berniaga petai yang dibeli daripada Orang Asli dekat perkampungan Orang Asli di Pos Bersih sejak 20 tahun yang lalu.

Katanya, dia akan membonceng motosikal yang ditunggang anak lelakinya setiap kali pergi mengambil petai dan menjual petai dari rumah ke sekitar pekan Slim River yang terletak kira-kira 15 kilometer (km).

"Pada hari lain, saya akan menemani anak lelaki saya pergi menjalani rawatan hemodialisis juga dengan menggunakan motosikal sahaja kerana tidak mempunyai kenderaan lain.

"Memang dalam usia begini agak letih dan penat namun apa boleh buat, mahu tidak mahu saya perlu bekerja untuk mencari rezeki apatah lagi kos hidup yang semakin tinggi," katanya ketika ditemui.

Mendiang suaminya, K Subramaniam meninggal dunia akibat penyakit jantung sejak 30 tahun lalu dan hasil perkahwinan dia dikurniakan dua anak.

Manakala, seorang lagi anak perempuan bongsu, S Parimala sudah pun berkahwin dan mempunyai empat anak serta tinggal di Puchong, Selangor.

Kini, dia tinggal di Taman Slim Jaya, Slim Village di rumah sendiri bersama anak lelaki dan menerima bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Minachi mengakui bernasib baik dan bersyukur kerana rawatan hemodialisis yang dijalani oleh anak lelakinya ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana anaknya sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, ke mana sahaja mereka berdua pergi sama ada menjual petai atau ke pusat hemodialisis, mereka akan pergi bersama-sama dengan menggunakan motosikal sahaja.

"Harga petai memang tidak menentu terutama pada bukan musim petai, harga seikat petai yang biasanya mempunyai kira-kira 90 papan petai dibeli dengan harga lebih daripada RM100.

"Jika papan petai itu panjang, saya menjual enam papan petai dengan harga RM10 dan jika papan petai agak pendek, bolehlah dijual dengan tujuh papan tetap dengan harga yang sama.

"Pada bukan musim petai terpaksa bersaing dengan peraih petai dari luar kawasan dan biasanya saya akan membeli dua ikat sahaja untuk dijual bagi menambah pendapatan kami dua beranak," katanya.

Kelibat dua beranak menjual petai dengan hanya meletakkan petai di atas tempat duduk motosikal dan menggantung petai di bahagian depan motosikal sering kelihatan di tempat parkir motosikal di sekitar pekan ini termasuk di pasar minggu.

Selain itu, Minachi juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta perlu menjalani rawatan secara berkala untuk memastikan tahap kesihatannya stabil.

Minachi mengakui walaupun pendapatan yang diperoleh dari hasil menjual petai bukanlah banyak namun cukuplah untuk menampung keperluan harian dan ubatan mereka berdua dalam menjalani kehidupan seharian.

Sementara itu, Vikneswaran pula berkata, seketika dahulu, pada waktu pagi dia akan menjual petai terlebih dahulu sebelum pergi bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam.

Dia terpaksa berhenti kerja selepas penyakit buah pinggangnya semakin kronik dan kini hanya menemani ibunya menjual petai sambil menjalani rawatan hemodialisis.

"Kami berdua saling memerlukan dan keadaan ini menjadikan hubungan kami berdua amat rapat serta saya rasa bertuah dilahirkan oleh seorang ibu yang baik serta penyayang.

"Inilah perjalanan hidup kami seharian dan susah atau senang hanya kami berdua sahaja yang memahami dan melaluinya dengan hati yang tabah," katanya.

Katanya, selagi kudrat dan tenaga masih ada, dia akan tetap setia menemani ibunya walau ke mana sahaja kerana ibu insan yang terbaik di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 7:02 AM