GELAGAT Spiderman 'Pasir Puteh' Muhammad Syafiq Shazwan Mohd Saupi, 16 ketika menjual air teh ais di gerai Teh Beng Avengers Bigha Jale di Jalan Kelubi, Pasir Puteh-Kota Bharu. FOTO Nor Amalina Alias
GELAGAT Spiderman 'Pasir Puteh' Muhammad Syafiq Shazwan Mohd Saupi, 16 ketika menjual air teh ais di gerai Teh Beng Avengers Bigha Jale di Jalan Kelubi, Pasir Puteh-Kota Bharu. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


ADIWIRA kegemaran ramai, Spiderman, kini berada di Pasir Puteh tapi bukan untuk melakukan misi menyelamat nyawa, sebaliknya menjual teh ais.

Kisah Spiderman yang menjual teh ais atau teh beng di Jalan Kelubi, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu, di Pasir Puteh, menjadi tular sehingga gerainya mendapat sambutan ramai.

Remaja berusia 16 tahun, Muhammad Syafiq Shazwan Mohd Saupi, yang memakai kostum adiwira itu sejak November lalu di gerai ‘Teh Beng Avengers’ Bigha Jale (tepi jalan) berkata, kelainan yang dilakukan menyebabkan perniagaan di gerai itu laris.

Katanya, jualan teh bengnya kini mencecah 300 gelas setiap hari dengan harga RM3 bagi gelas kecil dan RM4 bagi gelas besar.

“Saya pakai beberapa kostum Spiderman iaitu Spiderman merah, hitam atau Spiderman Venom selain Ultraman dan Mickey Mouse yang dipakai bergilir-gilir setiap hari,” katanya ketika ditemui di gerai berkenaan, di sini, hari ini.

Syafiq berkata, dia tidak kisah memakai kostum itu lebih tujuh jam sehari walaupun perlu aktif memanggil pelanggan bagi melariskan jualan teh beng yang dijual setiap hari bermula 11 pagi hingga 6.30 petang.

“Ada juga yang sanggup nak bayar untuk lihat muka sebenar saya, tapi saya tak bagi untuk membuatkan pelanggan teruja nak tahu identiti sebenar seperti watak Spiderman dalam komik,” katanya.

Syafiq berkata, hasil menjadi ‘Spiderman’ dua bulan lalu, dia berjaya membeli sebuah motosikal terpakai selain seronok dapat menggembirakan golongan kanak-kanak.

Sementara itu, pemilik gerai ‘Teh Beng Avengers’ Bigha Jale (tepi jalan), Yaakub Mohamad, 27, berkata, idea menampilkan Spiderman di gerai teh beng miliknya tercetus kerana minat mendalam anak sulungnya, Ahmad Harraz Yaslam, 2, tahun yang mahu berjumpa dengan adiwira itu.

Katanya, dia kemudian membuat pembelian kostum Spiderman di atas talian dengan harga RM150 bagi memenuhi keinginan anaknya.

“Kemudian saya terfikir nak jual teh beng sebab itu air kegemaran ibu saya, Siti Aminah Awang Hamat, 60, dan saya guna kostum yang ada untuk tarik pelanggan,” katanya.

Yaakob berkata, sehingga kini pembuatan teh beng mencecah lima kali ganda berbanding jualan pertama kali, dengan 50 tin susu digunakan selain teh timbang bagi menjaga keenakan air teh beng istimewa yang dibuat isterinya, Saliha Musa,21.

Katanya, dia juga teruja apabila ‘Spiderman’ nya turut disewa untuk majlis keraian yang dapat memberi pendapatan sampingan buat pekerjanya, Syafiq.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 2:33 PM