Noorazura Abdul Rahman


SERAMAI 3,216 daripada 22,360 penduduk di Amanjaya, Sungai Petani sudah disaring susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran setakat 8 malam semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) Dr Mohd Fikri Ujang berkata, kesemua sampel membabitkan 14.4 peratus penduduk itu dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Katanya, sebanyak enam pusat pengambilan sampel Covid-19 dibuka di mana dua pusat ditempatkan di setiap zon bermula 8 pagi hingga 8 malam.

"Seramai 700 kakitangan kesihatan dimobilisasikan, selain aktiviti promosi kesihatan giat dijalankan di semua zon membabitkan enam pasukan dengan kekuatan 15 kakitangan.

"Antara aktiviti itu ialah hebahan awam, edaran risalah, sesi nasihat individu, perbincangan kumpulan kecil selain taklimat dan perkongsian maklumat dalam Facebook Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda dan Facebook JKNK," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mohd Fikri, berkata kakitangan kesihatan juga pergi rumah ke rumah untuk memberi nasihat agar penduduk kekal duduk di rumah dan menyalurkan maklumat talian kecemasan untuk dihubungi.

Katanya, aktiviti-aktiviti itu dilihat dapat membantu mengurangkan keresahan dan kebimbangan penduduk di Amanjaya, Sungai Petani.

"JKNK menyeru kepada seluruh penduduk Kedah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan membudayakan norma baharu," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob h mengumumkan PKPD Secara Pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani bermula semalam sehingga satu tempoh yang akan diumumkan.

Arahan itu membabitkan Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya, Sungai Petani.

KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil sampel selepas membuat saringan Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil sampel selepas membuat saringan Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 2:50 PM