MUHAMMAD Sanusi. FOTO BERNAMA
MUHAMMAD Sanusi. FOTO BERNAMA
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, yang menjalani ujian saringan hari ini, tidak dikategori sebagai kontak rapat individu positif Covid-19 berikutan berada pada jarak kedudukan lebih satu meter.

Pejabat Menteri Besar Kedah berkata, definisi kontak rapat bagi kes Covid-19 adalah individu yang berada dalam jarak satu meter atau lebih dekat lagi dalam tempoh masa 15 minit atau lebih secara berterusan.

Jelasnya, berikutan itu tiada halangan bagi Muhammad Sanusi melaksanakan tanggungjawab termasuk membantu penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar dan di PKPD Zon Melor, Ambangan Heights, Sungai Petani.

"Dalam kes membabitkan Menteri Besar, hasil siasatan dibuat petugas Jabatan Kesihatan Negeri mendapati, beliau bukan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif Covid-19.

"Sehubungan itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Fikri Ujang mendapati tidak ada halangan bagi Muhammad Sanusi untuk turun padang menjalankan tanggungjawab perlu beliau selaku Menteri Besar," katanya pada kenyataan di sini.

Menurut kenyataan, Muhammad Sanusi bersama 55 individu sudah menjalani ujian saringan Covid-19.

Katanya, turut menjalani ujian saringan adalah EXCO Kesihatan Dr Mohd Hayati Othman dan EXCO Penerangan Wan Romani Wan Salim bersama kakitangan Pejabat Menteri Besar dan beberapa pimpinan PAS Kedah.

"Dr Mohd Fikri memaklumkan, sampel ujian itu sudah dihantar ke makmal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan keputusan dijangka diperoleh esok (19 September).

"Begitu juga 55 individu lain yang menjalani ujian saringan kerana ia sekadar ujian pemantauan yang tidak menyebabkan mereka perlu dikuarantin dan dipakaikan gelang merah jambu," katanya.

Kelmarin, seorang jurugambar Jabatan Penerangan Negeri Kedah yang menghadiri program penyerahan sumbangan bantuan di Wisma Darul Aman pada Isnin lalu, disahkan positif Covid-19.

Program itu turut dihadiri Muhammad Sanusi, dua EXCO, pegawai kerajaan, pimpinan PAS negeri dan petugas media menyebabkan mereka semua diarah menjalani ujian saringan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 8:04 PM