Zaid Salim

BIARPUN tidak memiliki kemahiran dalam menjahit pakaian, namun jiwa patriotik yang ada pada seorang ibu memberi keyakinan untuknya mencipta sendiri gaun merdeka untuk dua anak perempuannya.

Suri rumah, Tuan Syazwiain Tuan Zarahim Nazri, 30, berkata, pakaian berkonsepkan potongan gaun kembang dan fesyen peplum dengan gabungan empat warna yang ada pada Jalur Gemilang itu dihasilkan bagi menyertai pertandingan Ikon Cilik Merdeka anjuran seorang pereka fesyen dari Pulau Pinang.

"Saya langsung tidak ada pengalaman dalam bidang jahitan dan fesyen, tetapi semua itu saya belajar waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) menerusi YouTube.

"Saya mengambil masa kira-kira sebulan bagi menyiapkan dua gaun ini dan kos bagi setiap gaun ini dianggarkan sebanyak RM300.

"Saya memiliki empat anak iaitu Damia Aysarah Khalieesya Safuan, 7, dan Mia Aysarah Ayuni, 5, serta dua lelaki kembar dan semuanya saya terapkan semangat patriotik dan cintakan negara menerusi pakaian," katanya yang berkemahiran dalam bidang solekan.

TUAN Syazwiain memakaikan gaun yang bertemakan Hari Kebangsaan ke-63 kepada dua orang anaknya,   Damia Aysarah Khalieesya (kanan), dan Mia Aysarah Ayuni. FOTO Ghazali Kori
TUAN Syazwiain memakaikan gaun yang bertemakan Hari Kebangsaan ke-63 kepada dua orang anaknya, Damia Aysarah Khalieesya (kanan), dan Mia Aysarah Ayuni. FOTO Ghazali Kori

Tuan Syazwiain dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu berkata, sebelum ini, semua anaknya pernah menyertai pertandingan sempena hari kemerdekaan negara tetapi semua pakaian ditempah khas dengan tukang jahit.

Katanya, selain warna Jalur Gemilang, pakaian itu juga dilengkapi tema Hari Kebangsaan Ke-63, Malaysia Prihatin di samping slogan berbentuk tanah air.

Katanya, dia bertuah kerana mendapat sokongan dan dorongan suami, Safuan Kalid, 32, yang turut menyumbang idea bagi menyiapkan pakaian berkenaan.

"Pertandingan Ikon Cilik Merdeka diadakan pada setiap tahun dan disebabkan Covid-19, pertandingan diadakan secara dalam talian dengan bayaran penyertaan sebanyak RM35 seorang.

"Penilaian dibuat menerusi video dan gambar yang dihantar kepada penganjur, setakat ini keputusan belum diperoleh," katanya.

GELAGAT Damia Aysarah Khalieesya (kiri) dan Mia Aysarah Ayuni kelihatan ceria memakai gaun yang bertemakan Hari Kebangsaan. FOTO Ghazali Kori
GELAGAT Damia Aysarah Khalieesya (kiri) dan Mia Aysarah Ayuni kelihatan ceria memakai gaun yang bertemakan Hari Kebangsaan. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 3:34 PM