SERENA Stoneberg Lipari memakai gaun sama pada majlis perkahwinannya,
SERENA Stoneberg Lipari memakai gaun sama pada majlis perkahwinannya,
Agensi

Washington: Sebuah keluarga mengekalkan tradisi turun-temurun memakai gaun perkahwinan sejak lebih tujuh dekad lalu.

Sepanjang tempoh itu, lapan pengantin berpeluang memakai gaun pengantin berkenaan dengan menambah aksesori mereka sendiri serta detik itu diabadikan dalam The Bride Book.

Gaun satin klasik itu pertama kali dipakai Adele Larson pada majlis perkahwinannya dengan Roy Stoneberg pada 16 September 1950.

Gaun itu menampilkan reka bentuk kolar cheongsam dengan dihiasi renda pada bahagian depan dan belakang serta butang kecil.

Menurut anak saudaranya, Julie Frank Mackey, ibu saudaranya Larson membelinya di gedung beli-belah Marshall Field di pusat bandar Chicago yankini menempatkan Macy's State Street.

"Dia membelinya dengan harga AS$100.75 (RM466.62).

"Apabila kamu melihatnya dari dekat nampak fabrik, satin dan rendanya sangat cantik dan tidak lapuk," katanya kepada program Good Morning America.

PEMILIK gaun, Adele Larson yang menjadi pengantin pertama memakai gaun itu pada majlis perkahwinannya, 16  September 1950. FOTO Agensi
PEMILIK gaun, Adele Larson yang menjadi pengantin pertama memakai gaun itu pada majlis perkahwinannya, 16 September 1950. FOTO Agensi

Selepas tiga tahun perkahwinan Larson, adik perempuannya, Eleanor Larson, memutuskan untuk memakai gaun itu untuk perkahwinannya sendiri dengan John Milton pada Jun 1953.

Ibu Mackey, Sharon Larson, mengikut jejak adik-beradiknya dan menjadi pengantin perempuan ketiga yang memakai gaun berwarna krim itu apabila dia berkahwin dengan John Frank pada Mei 1969.

"Saya berumur lima dan lapan tahun ketika menghadiri majlis perkahwinan kakak.

"Saya memakai gaun itu kerana saya fikir kami sudah ada pakaian pengantin.

"Jadi, saya memakai gaun itu dengan seronok kerana ia turut dipakai dua kakak saya semasa hari bahagia mereka," katanya.

Selepas dua dekad berlalu, gaun itu kembali dipakai generasi kedua bermula dengan Susan Lianne Stoneberg, anak perempuan Larson yang berkahwin dengan Robert McCarthy pada tahun 1982.

"Saya sangat rapat dengan ibu. Jadi saya selalu fikir apabila berkahwin, saya akan memakai pakaian itu," katanya.

Carol Milton Zmuda iaitu anak perempuan Eleanor menjadi pengantin perempuan kelima yang memakai gaun berkenaan.

Pada tahun 1991, Jean Milton Ellis, juga anak perempuan Eleanor memakai pakaian itu ketika dia berkahwin dengan Tom Ellis.

Selepas 22 tahun, gaun itu dikeluarkan dari simpanan dan dipakai Julie Frank ketika berkahwin dengan Tom Mackey pada 16 Februari 2013.

Ogos lalu, Serena Stoneberg Lipari memakai pakaian neneknya Larson pada hari perkahwinannya dengan Chris Lipari gereja Chicago, Ebenezer Lutheran Church lokasi sama neneknya berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 9:05 AM