ANTARA bahagian surau Al Hikmah Bertam Ulu yang terbakar. FOTO Nazri Abu Bakar
ANTARA bahagian surau Al Hikmah Bertam Ulu yang terbakar. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


TINDAKAN pantas enam pemuda kampung berjaya menyelamatkan sebuah surau daripada hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Bertam Ulu, di Melaka, lewat malam tadi.

Ahli jawatankuasa surau Al Hikmah Bertam Ulu, Shaari Ramli berkata, kejadian kira-kira jam 11 malam itu berlaku dengan pantas, namun disedari kira-kira lima pemuda tidak jauh dari kawasan berkenaan yang mendapati kepulan asap tebal keluar daripada celah tangkap di bahagian anjung tempat imam.

Katanya, mereka segera berusaha memadamkan kebakaran menggunakan getah paip pada masa sama menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan polis bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, dia yang bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan turut sama membantu memadamkan kebakaran yang pertama kali berlaku.

"Jawatankuasa surau mengucapkan ribuan terima kasih atas tindakan awal pemuda berkenaan mengawal api daripada merebak.

"Sudah pasti keberanian mereka amat membanggakan berikutan ia memerlukan fokus yang tinggi terutama jika tidak kena caranya boleh menyebabkan kecederaan dan kemalangan," katanya.

Seorang daripada pemuda berkenaan Mohd Hermarizal Ramli, 30, berkata, dia bersama empat rakan iaitu Azmil Aziz, 42, Aswad Ishak 29, Aizil Shahrul Nizam Aziz, 30, duduk bersembang di rumah sebuah rumah penduduk berhampiran surau berkenaan.

Namun, tiba-tiba Mohd Azwan Hamzah, 29 datang memberitahu surau terbakar menyebabkan mereka segera ke surau untuk memadamkan kebakaran menggunakan paip surau termasuk bertindak membuka tiga pintu masuk yang berjeriji.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, BBP Tangga Batu Roslan Manas berkata, dia bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi kira-kira jam 11.15 malam.

Menurutnya, pihaknya mendapati asap tebal sebelum memadamkan kebakaran dengan pili bomba berhampiran .

Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 3:33 PM