KERJA gotong royong membersih dan mengecat surau Al Hikmah yang rosak akibat kebakaran. FOTO Nazri Abu Bakar
KERJA gotong royong membersih dan mengecat surau Al Hikmah yang rosak akibat kebakaran. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: "Kami akan lebih berhati-hati di masa hadapan bagi mengelak litar pintas dan kebakaran surau berulang," kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Hikmah Kampung Bertam Ulu, Shaari Ramli.

Beliau berkata, pihaknya mengakui kelalaian pihaknya membiarkan kipas tidak ditutup selama empat jam menyebabkan surau berkenaan terbakar pada 27 Ogos lalu.

"Laporan daripada pihak bomba mengenai kejadian itu sudah diambil maklum kepada jemaah dan kejadian itu menyebabkan kerugian RM15,000.

"Kebakaran itu akan dijadikan pengajaran dan pada masa sama, diharap menjadi panduan kepada surau dan masjid lain," katanya.

Terdahulu, beliau bersama AJK lain bergotong-royong membersihkan surau berkenaan termasuk mengecat, menukar lampu dan kipas selain mengukur karpet.

Menurutnya, mereka bersyukur kepada pelbagai pihak yang tampil menghulurkan pelbagai sumbangan seperti barangan elektrik, karpet, cat dan perbelanjaan makan serta minum peserta.

Katanya, lebih 50 ahli kariah turut terbabit dalam program berkenaan termasuk enam pemuda yang bertungkus-lumus memadam kebakaran pada malam kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 4:24 PM