ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Kluang menjalankan kerja-kerja memadamkan kebakaran di pusat pelupusan sampah haram berhampiran Sekolah Menengah Sains Sembrong dekat sini yang berlaku sejak 5.30 petang semalam. FOTO Adnan Ibrahim
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Kluang menjalankan kerja-kerja memadamkan kebakaran di pusat pelupusan sampah haram berhampiran Sekolah Menengah Sains Sembrong dekat sini yang berlaku sejak 5.30 petang semalam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


LEBIH 5,000 pelajar Sekolah Menengah Sains Sembrong, Sekolah Menengah Bandar T6 dan Sekolah Kebangsaan Bandar T6 di Kluang berdepan risiko menghidu asap beracun dan jerebu akibat kebakaran pusat pelupusan sampah haram yang terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah berkenaan sejak 5.30 petang semalam.

Selain pelajar, guru dan kakitangan sekolah, lebih 10,000 penduduk Taman Sri Lambak berdepan masalah sama dengan jerebu teruk dilaporkan berlaku selepas subuh hingga 12 tengah hari tadi.

Penduduk Jalan Yakin, Taman Sri Lambak, Shaary Hamid, 55, berkata, jerebu tebal berlaku pada waktu pagi, namun keadaan beransur baik pada waktu tengah hari.

“Malangnya, bau busuk akibat kebakaran itu masih kuat dan ia mengganggu ketenteraman penduduk kawasan ini, terutama pelajar tiga sekolah berkenaan kerana kedudukan terlalu hampir dengan tempat kejadian.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat memadamkan kebakaran dengan segera kerana ia menyebabkan kami tidak selesa berada di rumah, bimbangkan kesihatan kami akan terjejas.

“Bagaimanapun, kami berharap semua petugas terutama anggota bomba dan penyelamat dalam keadaan selamat dan menjaga keselamatan diri ketika cuba memadamkan kebakaran kerana mereka juga berisiko tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran pada 5.30 petang semalam, sebelum sebuah jentera serta lori tangki membabitkan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kerja mengawal kebakaran dilakukan bermula 5.30 petang semalam hingga awal pagi tadi bagi mengelak api merebak ke kawasan lain, namun untuk memadamkan api sepenuhnya ia mungkin memakan masa antara satu hingga dua hari sekiranya tiada hujan.

“Hasil siasatan awal, kawasan kebakaran seluas kira-kira dua hektar dipenuhi sampah industri namun kami tidak pasti sejak bila ia beroperasi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Akob berkata, pasukan bomba terdiri daripada lima hingga enam anggota terpaksa bergilir-gilir memadamkan kebakaran tanpa henti kerana kawasan itu menghasilkan asap tebal dan mencemar kawasan sekolah serta taman perumahan berhampiran.

“Kami akan menggandakan usaha dan menggunakan pelbagai teknik bagi memadamkan kebakaran dan berharap, api dapat dipadamkan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, jurucakap SWM Environment Sdn Bhd ketika dihubungi berkata, kawasan pelupusan sampah itu adalah pusat buangan sampah haram dan bukan dibawah pentadbiran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 1:51 PM