KEBAKARAN memusnahkan asrama Loafers Lodge di tengah Wellington dan menyebabkan enam maut. FOTO AFP
KEBAKARAN memusnahkan asrama Loafers Lodge di tengah Wellington dan menyebabkan enam maut. FOTO AFP
AFP

Wellington: Sekurang-kurangnya enam maut dalam kebakaran yang memusnahkan asrama empat tingkat pada awal pagi Selasa di ibu negara New Zealand.

Api menjulang tinggi dan asap tebal boleh dilihat dari bumbung asrama Loafers Lodge di tengah Wellington pada waktu malam.

Kira-kira 80 anggota bomba dengan 20 trak memadamkan kebakaran.

Polis berkata ramai orang maut dan 52 orang berjaya diselamatkan, dengan berpuluh-puluh sedang dikesan.

Perdana Menteri Chris Hipkins berkata jumlah kematian sekurang-kurangnya enam dan mungkin jauh lebih tinggi.

Anggota bomba menggunakan trak tangga untuk menyelamatkan orang yang terperangkap di atas bumbung, kata Timbalan Komander Bomba Negara dan Kecemasan Brendan Nally.

"Tiada jalan lain dan mungkin maut jika tidak berbuat demikian.

"Tiada pemercik di asrama dan penggera kebakaran tidak berbunyi secara automatik," kata Nally.

Salah seorang penghuni asrama, yang hanya memberikan namanya sebagai Chris, memberitahu penyiar awam TVNZ bahawa dia merangkak keluar dari biliknya untuk melarikan diri melalui asap tebal.

"Ia baru sampai ke tangga. Ia hitam seperti, tebal seperti asap. Sukar untuk bernafas. Semuanya musnah. Saya sempat mengambil vape dan telefon dan bukannya kasut," katanya.

Kira-kira 90 orang dipercayai berada di dalam bangunan itu ketika kebakaran bermula, kata bomba.

Perdana menteri menyifatkan kebakaran itu sebagai satu tragedi.

Ditanya mengenai jumlah kematian, Hipkins berkata: "Saya difahamkan enam disahkan sebelum ini, tetapi nampaknya ada lebih banyak lagi."

Pemimpin New Zealand itu berkata, ramai pekerja syif tinggal di asrama itu, menyukarkan untuk mengetahui bilangan orang yang berada di dalam bangunan ketika kebakaran.

Datuk Bandar Wellington, Tory Whanau berkata beliau menjangkakan jumlah lebih banyak daripada enam, menyifatkan ia sebagai sangat mengejutkan.

"Asrama itu menjadi rumah jangka panjang dan jangka pendek buat penduduk termasuk yang berpendapatan rendah atau tinggal di New Zealand secara 'peralihan'.

"Bagi komuniti Wellington kami, ini berasa seperti hari yang gelap," katanya.

Enam orang sudah dibawa ke hospital, seorang dalam keadaan parah manakala 15 orang lagi dirawat di tempat kejadian.

Jurucakap polis sebelum ini berkata jumlah kematian terakhir dijangka kurang daripada 10 tetapi hanya akan diketahui selepas mereka boleh mengakses bangunan itu.

Perdana menteri memuji 'usaha luar biasa' anggota bomba untuk memadamkan kebakaran dan memindahkan orang ramai dan berjanji akan menjalankan siasatan menyeluruh.

Polis berkata punca kebakaran 'tidak dapat dijelaskan' dan mereka akan bekerjasama dengan perkhidmatan bomba untuk menentukan punca.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 9:00 AM