AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Nurul Amanina Suhaini


POLIS Johor mengesahkan kegiatan perjudian di sebuah premis di daerah Segamat yang tular di laman sosial Facebook, hari ini adalah isu lama yang sudah diambil tindakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sudah menjalankan operasi bersepadu bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memotong bekalan elektrik di premis itu dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik.

Katanya, sejak 2015 sebanyak 15 serbuan dilakukan terhadap premis terbabit dan tindakan sudah diambil mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Sehingga kini, premis itu tidak beroperasi termasuk perniagaan kopitiam.

"Polis Johor sentiasa mengambil pendekatan secara bersepadu dengan PBT dan TNB dalam memerangi kegiatan perjudian di negeri ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ayob Khan berkata, masyarakat perlu ingat bahawa tidak semestinya perkara yang ditularkan di media sosial itu benar.

"Polis sentiasa peka kepada sebarang maklumat yang disalurkan oleh orang ramai. Bagaimanapun, pastikan maklumat yang disalurkan itu tidak mempunyai niat lain atau untuk kepentingan pihak lain.

"Polis Johor mengalu-alukan sebarang maklumat orang ramai namun orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan berita palsu dan tidak sah bertujuan membuat spekulasi tanpa mengetahui perkara yang benar.

"Selain boleh menggugat ketenteraman awam, sekali gus menimbulkan kegusaran kepada masyarakat serta menimbulkan persepsi negatif kepada pihak polis," katanya.

Terdahulu, tular entri di laman sosial Facebook Malaysian Crime Watch-MyWatch berhubung kegiatan perjudian di premis di Segamat yang didakwa mencetuskan pelbagai reaksi warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 6:34 PM