Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Empat individu termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan kerana disyaki menjual air ketum dalam serbuan di sekitar kawasan Segamat, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata bagi serbuan pertama kira-kira jam 8.10 malam itu seorang penjawat awam bersama pelajar berkenaan masing-masing berusia 39 dan 22 tahun ditahan bersama air ketum, selain ujian saringan awal air kencing mendapati penjawat awam itu positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang kemudiannya membawa kepada penahanan seterusnya iaitu seorang lagi penjawat awam berusia 43 tahun bersama sejumlah daun ketum dan air ketum.

"Hasil siasatan mendapati, kegiatan yang beroperasi sejak Februari lalu itu, suspek terbabit dalam memasak air ketum dan menjualnya kepada pelanggan sekitar kawasan Segamat.

"Polis turut merampas 80 kilogram daun ketum dan sembilan liter air ketum dengan jumlah nilai rampasan adalah RM890," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Ayob Khan berkata, suspek sudah direman tiga hari sehingga 5 Ogos lalu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menahan 130 individu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian menerusi Op Dadu yang dijalankan di negeri ini, sepanjang tempoh 31 Julai lalu hingga semalam.

Katanya, menerusi 103 operasi dijalankan, 69 daripadanya bagi loteri awam tanpa lesen manakala 34 serbuan adalah judi atas talian dengan keseluruhan ditahan berusia 19 hingga 58 tahun.

"Kesemua yang ditahan sudah direman dan disiasat mengikut Seksyen 4A (a) dan 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 4:47 PM