YUSRI (kiri) menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Saudara Kita dan Orang Asli Peringkat Daerah Kluang daripada Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dalam majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Kluang di Masjid Bandar Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
YUSRI (kiri) menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Saudara Kita dan Orang Asli Peringkat Daerah Kluang daripada Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dalam majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Kluang di Masjid Bandar Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

KOMITMEN yang diberikan Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Yusri Abdullah, 40, untuk memartabatkan syiar Islam di kampung itu mendapat pengiktirafan apabila dipilih menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Saudara Kita dan Orang Asli Peringkat Daerah Kluang.

Yusri memeluk agama Islam pada 2004 dan atas usaha yang dilakukannya, kini sebahagian daripada 180 penduduk perkampungan Orang Asli itu memeluk Islam.

Menurut Yusri, dia mengakui pada awal memeluk Islam, dia terpaksa menyembunyikan daripada pengetahuan ayahnya selama tiga tahun dengan menunaikan ibadat secara sembunyi termasuk memberi alasan mempunyai tugasan di luar kampung.

Katanya, rahsia dia memeluk Islam terbongkar apabila Penasihat Agama Islam Negeri Johor ketika itu, Datuk Dr Nooh Gadot bertanya kepada arwah ayahnya yang juga Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Ogeh Gandoh dalam satu program keagamaan di kampung berkenaan.

"Ketika Datuk Dr Nooh tanya bila ayah nak masuk Islam sedangkan saya sudah, hati saya amat bimbang jika ayah marah, namun terkejut apabila dia juga menyatakan hasrat untuk memeluk agama Islam.

"Saya amat bersyukur apabila mendengarnya dan tindakan itu menyebabkan hampir keseluruhan penduduk di kampung ini memeluk agama Islam," katanya.

Yusri berkata demikian selepas menerima anugerah itu daripada Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu di majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kluang di Masjid Bandar Kluang malam tadi.

Hadir sama adalah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Mohd Rafi Abdullah; Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Hisam Said dan Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam, Mohamad Sukry Abd Rahim.

Menurut Yusri, sebagai usaha memperkasakan lagi agama Islam, sebidang tanah miliknya di Kampung Orang Asli Sungai Peroh diwakafkan untuk membina sebuah surau, rumah transit Jabatan Agama Islam Negeri Johor, tadika, balai raya, rumah guru dan sebuah perigi untuk kegunaan surau dan masyarakat kampung.

Penerima anugerah lain adalah Musa Omar (Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Kluang), Muhammad Chan Kok Siong Abdullah (Anugerah Khas Maal Hijrah Miladiah Saudara Kita Kategori Lelaki) dan Nurelyana Abdullah (Anugerah Khas Maal Hijrah Miladiah Saudara Kita Kategori Perempuan).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 2:39 PM