PETIKAN video tular sekumpulan gajah di kawasan kebun kelapa sawit yang didakwa di Batu 26, Kahang, Kluang. FOTO Ihsan Pembaca
PETIKAN video tular sekumpulan gajah di kawasan kebun kelapa sawit yang didakwa di Batu 26, Kahang, Kluang. FOTO Ihsan Pembaca
Adnan Ibrahim


VIDEO sekumpulan gajah yang konon dirakamkan di Jalan Kluang-Mersing yang menjadi tular sebenarnya adalah rakaman di Thailand, kira-kira dua tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor Jamalun Nasir Ibrahim berkata, siasatan mendapati video itu bukan dirakam di Batu 26, Kahang, Kluang seperti didakwa, sebaliknya rakaman di Thailand dua tahun lalu sebelum tular semula.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat aduan penduduk sekitar Kahang mengenai kehadiran kumpulan gajah di kawasan mereka tetapi jumlah gajah tidak sebanyak yang dirakamkan dalam video terbabit.

“Memang ada aduan penduduk di Kahang, namun jumlahnya (gajah) tidak sebanyak itu. Jika ada maklumat serangan terbaharu, kita akan maklum dan segera membuat siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai rakaman berdurasi 2.14 minit yang menjadi tular mengenai sekumpulan lebih 30 ekor gajah melintas kawasan kebun penduduk yang didakwa dirakam di Batu 26, Jalan Kluang-Mersing, Kahang.

Sementara itu, penduduk Kampung Sri Lukut, Sanib Hashim, 55, turut menafikan rakaman video itu berlaku di kawasan Kahang berikutan jumlah gajah yang banyak.

Menurutnya, terdapat serangan gajah di Batu 26, Kahang berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Peroh, beberapa hari lalu tetapi bukan kumpulan gajah sama yang dirakamkan dalam video tular itu.

“Saya dimaklumkan ada serangan gajah di Batu 26 (Kahang) berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Peroh, tetapi tak sebanyak gajah yang dirakamkan dalam video itu, malah penduduk situ pun kata bukan video itu. Saya tak tahu video itu dirakam di mana?

“Saya ada tengok video yang menjadi tular itu tetapi sebenarnya bukan kumpulan gajah itu yang masuk ke Batu 26. Kumpulan gajah ini bukan gajah yang sering merosakkan tanaman penduduk yang biasanya kumpulan pecahan daripada Hutan Simpan Endau Rompin,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap PERHILITAN dapat menyiasat di kawasan itu kerana jika kumpulan gajah terbabit masih ada sudah pasti banyak kerosakan khususnya pokok kelapa sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 8:10 PM