KEADAAN jalan masuk ke Kampung Orang Asli Berasau yang ditenggelami air. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN jalan masuk ke Kampung Orang Asli Berasau yang ditenggelami air. FOTO ihsan pembaca
Adnan Ibrahim


Kluang: Seramai 63 penduduk daripada 17 keluarga di Kampung Orang Asli Berasau terputus hubungan sejak tengah malam tadi berikutan jambatan yang menjadi penghubung ditenggelami air.

Tok Batin Kampung Orang Asli Berasau, Sari Achu berkata, semua penduduk kini tidak lagi boleh keluar dari kawasan penempatan mereka.

Katanya, keadaan berlaku berikutan hujan sepanjang malam menyebabkan air Sungai Kahang melimpah mengakibatkan laluan ke kampung ditenggelami air.

"Buat masa ini, bekalan makanan yang disalurkan oleh Yayasan Johor Darul Takzim (YJDT) masih mencukupi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Yusri Abdullah berkata, laluan ke perkampungan itu dan Kampung Orang Asli Pucur masih boleh dilalui.

Katanya, air dijangka naik lewat petang ini namun penduduk kampung sudah membuat persediaan awal menghadapi banjir.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang, R Vidyananthan berkata, pihaknya membuat pemantauan keadaan banjir di seluruh kawasan di Pekan Kahang.

"Pasukan penyelamat seperti Bomba dan Penyelamat Kluang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kluang sudah digerakkan untuk membantu penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 10:25 AM