MUHAMMAD Fahmi ceria menerima anugerah daripada Kerajaan Melaka. FOTO Hassan Omar
MUHAMMAD Fahmi ceria menerima anugerah daripada Kerajaan Melaka. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

DAIE Muhammad Fahmi Zulkifly menyifatkan anugerah Ali bin Abi Talib (Belia Islam) Melaka yang diperoleh semalam bukan untuk bermegah-megah, sebaliknya pendorong untuk berdakwah dengan lebih gigih demi agama.

Muhammad Fahmi, 22, menyifatkan anugerah kerajaan negeri itu sebagai pemangkin untuk meneruskan kerja dakwah secara lebih kuat, sejajar tuntutan agama yang mahukan semua umat Islam sentiasa berusaha menyampaikan dakwah walaupun sebaris ayat.

"Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan anugerah itu dan berdoa agar Allah SWT menguatkan semangat saya dan sentiasa memudahkan kerja dakwah yang saya lakukan, terutama melalui beberapa rancangan televisyen.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan guru yang pernah memberikan ilmu kepada saya dan saya berjanji akan mencuba sedaya upaya untuk berkongsi ilmu dengan seramai mungkin umat Islam," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah, hari ini.

Beliau menerima anugerah berkenaan daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh semalam.

Pada majlis itu, bekas Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md Amin dipilih sebagai penerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq, iaitu Tokoh Maal Hijrah.

Selain itu, Anugerah Cendekiawan Perubatan (Anugerah Ibnu Sina) diberikan kepada Dr Mohammad Fadhly Yahya, 49, manakala Anugerah Usahawan Islam (Anugerah Abdurahman Bin Auf), diberikan kepada Datuk Ir Dr Khairul Anuar Mohammad Tawi, 60.

Muhammad Fahmi yang memegang Diploma Tahfiz al-Quran Waal-Qiraat dari Kolej Pengajian Islam Johor di Johor Bahru, berkata beliau akan mencuba menulis buku berkaitan agama bagi memperkukuh kerja dakwah.

Beliau yang kini bertugas di sebuah masjid di Johor Bahru turut muncul dalam rancangan agama terbitan TV3 dan TV9, selain menyampaikan dakwah melalui program khas anjuran pihak tertentu.

Pemenang tempat ketiga rancangan Da'I Pendakwah Nusantara musim ke-5 anjuran TV3 pada 2017 itu berkata, tugas menyampaikan dakwah seharusnya dilaksanakan semua umat Islam asalkan ia tidak menyeleweng daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 12:57 PM