IBRAHIM (kiri) ketika melafaz syahadah di depan Mohd Syahbuddin . FOTO Ramli Ibrahim
IBRAHIM (kiri) ketika melafaz syahadah di depan Mohd Syahbuddin . FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


"HATI saya rasa tenang selepas mengucap kalimah syahadah peluk Islam," kata Ibrahim Marijah, 63, Penghulu Orang Asli Kampung Merlong, Kuala Betis, dekat Gua Musang.

Dia melafazkan syahadah di hadapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim di Pusat Khidmat DUN Galas, di Bandar Utama, di Gua Musang, hari ini.

Katanya, dia memang sudah lama menyimpan hasrat untuk memeluk Islam berikutan sebilangan besar Orang Asli di kampung itu sudah berbuat demikian.

Bagaimanapun, ia terhalang berikutan apabila perlu menjaga isterinya, Semayon Tahun, yang sakit buah pinggang.

Malah katanya, anak perempuan sulungnya, Johara Ibrahim, 43, sudah memeluk Islam 13 tahun lalu.

"Selepas kematian isteri tiga tahun lalu, hati mula rasa sayu dan terbuka hati untuk memeluk Islam," katanya, hari ini.

Menurut Ibrahim, dia tidak mahu memaksa 12 lagi anaknya memeluk Islam.

"Lebih baik mereka nilai sendiri. Lagipun, sejak kebelakangan hanya tinggal sebilangan kecil Orang Asli yang belum memeluk Islam atau tidak beragama," katanya.

Katanya, dia akan belajar solat dan mengaji al-Quran dengan guru agama dengan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 10:26 AM