Leong (kiri) bersama Michael ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, Kuala Lumpur hari ini. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Leong (kiri) bersama Michael ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, Kuala Lumpur hari ini. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

DIJANJIKAN kadar faedah rendah dan bertopengkan tawaran pinjaman daripada kerajaan khasnya kepada peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Itu helah digunakan sindiket penipuan pinjaman wang bagi memancing mangsa membuat pinjaman daripada mereka.

Bagaimanapun, mangsa yang mahu meminjam tidak diberikan wang, sebaliknya diarahkan sindiket membayar duit bagi proses permohonan pinjaman.

Menurut mangsa yang mahu dikenali sebagai Leong, 68, dia mengetahui mengenai kewujudan pinjaman berkenaan apabila melakukan pencarian secara dalam talian pada hujung Jun lalu.

Katanya, dia kemudiannya terjumpa satu tawaran pinjaman didakwa daripada sebuah kementerian khusus bagi peniaga yang terjejas akibat Covid-19.

"Bagi permohonan pinjaman itu, saya diminta mengisi maklumat di laman web sebuah bank tempatan melalui pautan disediakan.

"Saya kemudiannya dihubungi dua individu mendakwa ejen daripada syarikat pinjaman wang berlesen memaklumkan mendapat permohonan bagi pinjaman berkenaan.

"Ejen terbabit menawarkan kadar faedah secara tahunan sebanyak 4.8 peratus membabitkan pinjaman berjumlah RM15,000 yang perlu dibayar semula sebanyak RM18,660 secara ansuran iaitu RM311 bagi tempoh 60 bulan," katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Leong berkata, individu terbabit kemudian memintanya untuk memberikan sejumlah wang yang didakwa bagi urusan permohonan termasuk insurans, duti setem dan lain-lain.

"Saya memasukkan wang berjumlah RM11,539 melalui beberapa transaksi antara 2 hingga 20 Julai lalu kepada individu terbabit ke dalam akaun yang diarahkannya.

"Individu berkenaan juga ada memberikan salinan dokumen di WhatsApp yang didakwa perjanjian pinjaman sudah diluluskan serta insurans setiap kali transaksi pembayaran dibuat bagi meyakinkan saya.

"Saya hanya menyedari ditipu selepas dimaklumkan rakan bahawa itu adalah taktik sindiket penipuan sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya pada 27 Julai lalu untuk tindakan lanjut," katanya yang juga seorang pesara.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, setiap individu yang mahu membuat pinjaman disarankan supaya tidak melakukannya secara dalam talian.

"Sebaiknya setiap proses pinjaman dilakukan secara bersemuka bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit.

"Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu latar belakang syarikat pinjaman sebelum melakukan sebarang perkongsian maklumat kepada pihak ketiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 2:41 PM