Noor Hidayah Tanzizi


Parit: Lelaki meninggal dunia dengan kesan libasan senjata tajam di leher dipercayai dibunuh di hadapan rumahnya di Kampung Merua di sini, hari ini.

Mayat Norzi Jaafar, 58, ditemui terlentang oleh sepupunya yang datang ke rumah itu untuk meminjam pam racun pada 10.30 pagi.

Dia kemudian memaklumkan penemuan berkenaan kepada anggota Balai Polis Parit pada 11.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mangsa yang masih bujang itu tinggal sendirian di rumah berkenaan.

"Mangsa kali terakhir dilihat penduduk kampung berdiri di hadapan rumahnya pada 6.30 petang semalam.

"Siasatan awal menjangkakan kejadian berlaku selepas 6.30 petang dan beberapa tompokan darah beku ditemui di sekeliling badan mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Barudin berkata, pihaknya menolak kejadian itu bermotifkan samun kerana barangan berharga dan wang tunai mangsa tidak hilang.

Selain itu katanya, pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan pada badan mahupun dalam rumah lelaki itu, namun siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

"Pintu rumah dan lampu terbuka, yang mana kita tidak menolak kemungkinan suspek adalah individu yang dikenali mangsa. Senjata digunakan masih belum ditemui lagi setakat ini," katanya yang memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 2:46 PM
POLIS mengangkat mayat mangsa yang ditemui maut di hadapan rumahnya di Kampung Merua, Parit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
POLIS mengangkat mayat mangsa yang ditemui maut di hadapan rumahnya di Kampung Merua, Parit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.