ANGGOTA polis memeriksa mayat remaja yang ditemui di dalam parit, malam tadi. FOTO ihsan polis.
ANGGOTA polis memeriksa mayat remaja yang ditemui di dalam parit, malam tadi. FOTO ihsan polis.
Noor Hidayah Tanzizi


REMAJA lelaki ditemui lemas dalam parit di Ladang Tualang Tumbuh Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Bota, malam tadi.

Mangsa, Muhammad Adib Muhammad Sham, 16, ditemui pada 11.57 malam oleh orang awam yang memaklumkan penemuan itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, berkata mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar itu ditemui dalam parit sedalam 0.9 meter.

Menurutnya, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira enam jam sebelum mayat ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam parit berkenaan.

“Pemeriksaan luaran mendapati mangsa mengalami luka di dahi kiri sedalam kira-kira tiga sentimeter, luka di tangan kanan dan kiri serta calar di lengan kiri sebelum mayat dicam abang mangsa.

“Pihak forensik polis yang hadir di lokasi kejadian menjumpai dua tompok darah di tebing parit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan bersama pihak forensik di tempat kejadian mengesyaki mangsa terbabit kemalangan motosikal iaitu terbabas sendiri berdasarkan kesan seretan tayar dan seretan objek beroda sepanjang kira-kira 50 meter sebelum lokasi mangsa ditemui.

Menurutnya, terdapat kesan cermin pecah dipercayai cermin sisi dan sedikit tumpahan minyak petrol di bahu jalan.

“Bagaimanapun, ketika polis tiba di tempat kejadian, kami tidak menemui kenderaan di tempat kejadian.

“Keluarga mangsa memaklumkan dua rakan remaja itu menyerahkan motosikal ditunggang mangsa ketika keluar dari rumah pada 4 petang dan pemeriksaan pada motosikal berkenaan mendapati kerosakan ketara iaitu calar dan seretan pada bahagian kiri kenderaan itu.

“Dua rakannya itu adalah rakan sekolah mangsa dan mereka sudah berjanji untuk memancing bersama-sama seperti diberitahu mangsa kepada ibunya sebelum keluar dari rumah,” katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa memaklumkan mereka menunggu mangsa yang tidak tiba hingga 7 malam sebelum pulang dengan menaiki sebuah motosikal dan dalam perjalanan menemui motosikal mangsa dalam keadaan bertongkat di tepi jalan ban sebelah parit.

Katanya, dua rakan mangsa kemudian cuba mencari mangsa, namun gagal kerana keadaan gelap dan hanya menggunakan lampu telefon bimbit masing-masing.

“Seorang daripada mereka menemui sebelah selipar berwarna hijau berhampiran motosikal dan kemudian mereka menolak motosikal mangsa ke rumah.

“Mereka memberitahu keluarga mangsa dan mereka mencari mangsa semula bersama penduduk sekitar dan selepas tiga jam mencari mangsa ditemui dalam parit bersebelahan jalan ban tempat motosikalnya ditemui,” katanya.

Barudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan punca kematian didapati lemas serta terdapat kandungan air banyak dalam paru-paru.

Katanya, polis sudah memanggil beberapa saksi untuk dirakam percakapannya termasuk individu yang menemui mayat mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 7:20 PM