GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI dipercayai sudah meninggal dunia tiga hari ditemui di Sungai Perak berhampiran Pam Pasir 1, Kampung Pulau Pisang, Bota Kiri, dekat Bota, malam tadi.

Mayat lelaki dipercayai warga Indonesia berusia 20-an itu ditemui pada 7.50 malam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mayat berkenaan ditemui terapung oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis.

Menurutnya, mangsa yang memakai baju-T berwarna coklat kekuningan dan seluar jeans pendek warna biru itu dibawa naik ke darat dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, pada 10.40 malam.

“Pemeriksaan dijalankan menemui dompet di dalam poket kiri seluar mangsa dan salinan dokumen pengenalan diri yang belum dapat disahkan iaitu nama Hosnan, berusia 27 tahun dan berasal dari Tanjung Perak, Indonesia.

“Bagaimanapun, cap jari akan diambil untuk pemeriksaan dan pengesahan identiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Barudin berkata, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang kecederaan fizikal akibat jenayah pada luar badan mayat.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam anggaran masa tiga hari sebelum mayatnya ditemui.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 8:31 AM