HABIBI menerima cenderahati daripada pemilik Kedai Emas Sofia selepas merasmikan pembukaan cawangan yang keempat di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
HABIBI menerima cenderahati daripada pemilik Kedai Emas Sofia selepas merasmikan pembukaan cawangan yang keempat di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


BAGI menjamin keselamatan serta ketenteraman awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan meningkatkan kehadiran anggota polis khususnya di sekitar pusat beli-belah di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, anggota polis sentiasa digerakkan ke lokasi tumpuan seperti pusat beli-belah Centre Point dan sekitar kawasan berkenaan.

"Walaupun pusat beli-belah itu mempunyai pengawal keselamatan sendiri, tetapi kita menempatkan dua anggota di dalam bangunan manakala dua lagi di luar bangunan supaya pengunjung berasa selamat.

"Langkah ini juga bertujuan memastikan orang ramai serta pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam Program Komuniti Policing dan merasmikan Kedai Emas Sofia di Centre Point, hari ini.

Habibi berkata, rondaan akan dijalankan seawal pembukaan pusat beli-belah itu pada 10 pagi sehingga masa penutupan pada 10 malam setiap hari.

"Setakat ini, kita tidak mencatatkan kejadian jenayah serius di dalam pusat beli-belah dan hanya kes terpencil yang dilakukan oleh remaja nakal seperti melarikan alat penyukat suhu badan yang diletakkan di luar premis.

"Namun polis akan teruskan kerjasama dengan pengurusan pusat beli-belah bagi memelihara dan menjamin keselamatan semua pengunjung," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:57 PM