SURIANI ketika meninjau persiapan Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh. FOTO Ihsan Bernama TV.
SURIANI ketika meninjau persiapan Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh. FOTO Ihsan Bernama TV.
Hayati Ibrahim


"DULU kita bergantung kepada doktor, jururawat, polis dan pihak berkuasa lain sebagai 'frontliners', tetapi sekarang kita sendiri yang perlu menjadi 'frontliners' untuk memerangi penularan pandemik Covid-19," kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad.

Atas dasar itu, beliau berkata, KKMM melaksanakan Kempen Pembudayaan Norma Baharu yang akan dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Kompleks Sukan Pagoh, Johor, esok.

"Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkasakan rakyat untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti dalam memerangi Covid-19 dan memperkasakan norma baharu dalam kehidupan, itu yang penting.

"Sekarang giliran kita. Ayuh kita ke hadapan sebagai 'frontliners' untuk bersama-sama memerangi Covid-19," katanya ketika ditemubual Bernama TV menerusi lintas langsung dari Kompleks Sukan Pagoh, Johor, hari ini.

Suriani berkata, pada majlis berkenaan, Perdana Menteri akan mengumumkan nama pemenang bagi pertandingan logo dan tagline Kempen Pembudayaan Norma Baharu yang dianjurkan KKMM bermula 1 hingga 10 Julai lalu.

Menurutnya, beliau sangat teruja apabila pertandingan itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan 1,137 peserta dan sebanyak 2,150 logo diterima.

"Jadi, kita akan tengok logonya esok. Sebenarnya pertandingan ini dilaksanakan untuk memberi rakyat peluang menzahirkan kreativiti mereka.

"Kita mahu rakyat terbabit sekali dalam kempen ini," katanya sambil menambah pelancaran kempen itu akan disiarkan secara langsung di TV1 RTM, Facebook KKMM dan Bernama TV pada 10.25 pagi.

Selain itu, Suriani berkata, Perdana Menteri juga akan melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti yang diterbitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKMM).

Katanya, buku itu akan diedarkan kepada masyarakat sebagai sumber rujukan.

Beliau berkata, mengikut perancangan kempen berkenaan akan berlangsung sehingga akhir tahun, bagaimanapun pihaknya akan meneliti semula sama ada ingin meneruskan kempen ini atau sebaliknya bergantung kepada keadaan.

"Kita juga berharap rakyat sesama kita pun saling tegur menegur. Contohnya di kedai atau di mana-mana sahaja individu yang tidak pakai pelitup muka, atau tidak scan QR kod atau mendaftar nama dan nombor telefon ketika masuk ke sesebuah premis kita ada hak untuk menegur.

"Begitu juga jika ternampak mereka yang pakai gelang berwarna merah jambu di kawasan awam, itu satu kesalahan, jadi kita berhak menegur dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

"Ini hak kita untuk melindungi diri sendiri dan masyarakat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 2:22 PM