PENYERAHAN zakat perniagaan tersebut diserahkan oleh Pemangku Pengerusi, Haji Abd Rani Lebai Jaafar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed.  FOTO Bernama
PENYERAHAN zakat perniagaan tersebut diserahkan oleh Pemangku Pengerusi, Haji Abd Rani Lebai Jaafar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM22,973,247.69 daripada sembilan syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

LZS pada kenyataan memaklumkan, penyerahan itu didahului oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dengan jumlah bayaran zakat perniagaan RM5,389,531.68.

Ia diikuti UMW Holdings Berhad yang diwakili Pengerusi Kumpulannya Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dengan jumlah zakat perniagaan RM4,147,654.50.

"Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang diwakili Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2,582,879.90, diikuti Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosman Mohamed dengan zakat perniagaan berjumlah RM2,538,145.

"Kumpulan Alam Flora Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Zain Hassan menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,989,848.12 manakala Anih Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD Mohamad Husni Abdul Mutalib menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,976,921.45.

"Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,797,366.05 yang diserahkan Pengarah Urusannya, Ismail Mohamed Yusof," katanya.

Sementara itu, Maybank Islamic Berhad diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrizan Sulaiman menyerahkan zakat perniagaan RM1.3 juta.

Turut menunaikan zakat perniagaan adalah Northport (Malaysia) Bhd berjumlah RM1,250,901 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd Yusof.

Menurut kenyataan, zakat perniagaan itu bagi tahun kewangan 2019.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 4:38 PM