ARWAH Razmie (kiri) meninggal dunia selepas badannya melecur 90 peratus manakala keadaan adik bongsu mangsa yang cedera di telingga dan kaki.
ARWAH Razmie (kiri) meninggal dunia selepas badannya melecur 90 peratus manakala keadaan adik bongsu mangsa yang cedera di telingga dan kaki.
Nur Izzati Mohamad


"MAK cik terkejut bila lihat Razmie berlari keluar rumah sambil menjerit meminta tolong dengan badan dipenuhi api lalu menolaknya ke parit berhampiran untuk memadamkan api."

Begitu kata Che Sam Othman, 61, ibu saudara kepada Razmie Abdul Razak, 26, yang meninggal dunia pada 9.50 pagi tadi kerana melecur 90 peratus akibat kebakaran di Kampung Pulau Pisang, Machang Bubok, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 12.57 tengah hari itu, abang kepada Razmie iaitu Ramizie, 34, turut melecur teruk di belakang badan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Manakala, adik bongsu mereka, Razimie, 6, cedera di telinga kiri dan kaki kanan.

Menurut Che Sam, dia yang berada di dalam rumah terus keluar sebaik terdengar bunyi seakan orang bergaduh dan terkejut melihat keadaan badan anak saudaranya yang dipenuhi api.

"Saya yang ketakutan cuba menggagahkan diri untuk membantu Razmie dengan menariknya ke dalam parit berdekatan rumah untuk memadamkan api pada badannya.

"Parit itu pula airnya tidak banyak, tetapi sebab kasihan lihat Razmie meraung kesakitan, saya cuba sedaya upaya sehingga anggota bomba tiba," katanya ketika ditemui, hari ini.

Che Sam berkata, dia pergi ke HBM untuk membantu menjaga anak saudaranya dan apabila pulang ke rumah dimaklumkan bahawa Razmie sudah meninggal dunia.

"Saya tidak tahu apa punca kebakaran dan jika dilihat apa yang berlaku terhadap mangsa sudah tentu orang mengatakan ia kebakaran yang teruk, tetapi semalam hanya beberapa peralatan terbakar," katanya.

Sementara itu, bapa kepada Razmie, Abdul Razak, 50-an, berkata ketika kejadian dia berada di HBM sedang menunggu anak-anaknya datang melawat.

"Namun, saya terkejut apabila dua anak lelaki pula dimasukkan ke HBM akibat cedera selepas ruang tamu rumah terbakar," katanya.

Jenazah Allahyarham Razmie dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Machang Bubok, di sini, selepas solat Zohor, hari ini.

Portal Harian Metro semalam melaporkan dua beradik yang sedang berehat di rumah tamu melecur teruk pada badan selepas disambar api dalam kebakaran di rumah dua tingkat berkenaan.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke HBM untuk rawatan lanjut.

Berita berkaitan

  • Dua beradik melecur disambar api
  • Mangsa kebakaran meninggal dunia]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 8:24 PM