MANGSA diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital. FOTO ihsan bomba
MANGSA diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital. FOTO ihsan bomba
Nur Izzati Mohamad


LELAKI Bangladesh melecur di seluruh badan selepas disambar api ketika melakukan kerja memotong sebuah tong drum di sebuah rumah dekat Taman Meranti, Butterworth, petang tadi.

Mangsa, Mohammad Asadul, 41, dikerjakan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.07 petang berhubung insiden berkenaan.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran.

"Ketika tiba didapati kebakaran itu sudah dipadamkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu tidak membabitkan struktur rumah dan mangsa melecur 30 peratus.

"Siasatan mendapati kebakaran berlaku pada sebuah tong drum yang di dalamnya mempunyai thinner.

"Mangsa ketika itu sedang memotong tong terbabit sebelum dia disambar api ," katanya.

Difahamkan, punca kebakaran disebabkan penyambung wayar tiba-tiba terbakar lalu menyebabkan mangsa yang ketika itu memegang peralatan memotong tong drum disambar api.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:31 PM