Laporan Harian Metro mengenai mangsa kebakaran, Razmie Abd Razak, 26 yang melecur 90 peratus bahagian badannya akibat kebakaran rumah di Kampung Pulau Pisang, Machang Bubok, Bukit Mertajam.
Laporan Harian Metro mengenai mangsa kebakaran, Razmie Abd Razak, 26 yang melecur 90 peratus bahagian badannya akibat kebakaran rumah di Kampung Pulau Pisang, Machang Bubok, Bukit Mertajam.
Nur Izzati Mohamad


UNIT Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menemubual mangsa kedua bagi melengkapkan siasatan kebakaran ruang tamu rumah mengakibatkan seorang lelaki maut di Kampung Pulau Pisang, Machang Bubok, Bukit Mertajam pada Sabtu lalu.

Sumber berkata, sehingga kini punca kejadian masih belum dapat dirungkai dan pihak bomba perlu menemubual mangsa kedua, Ramizie Abd Razak, 34, bagi mendapatkan maklumat sebaik dia sedar dan pulih selepas menjalani rawatan.

Katanya, Ramizie kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bukit Mertajam (HBM).

"Punca kejadian itu masih dalam siasatan kerana menunggu mangsa kedua sedar untuk dia menceritakan apa sebenarnya berlaku pada hari kejadian," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.57 tengah hari itu, tiga beradik iaitu Ramizie, Razmie, 26, dan Razimie, 6, dikatakan sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum berlaku kebakaran.

Mangsa yang berada berdekatan peralatan rumah berkenan tidak sempat menyelamatkan diri lalu disambar api.

Kejadian menyebabkan Razmie meninggal dunia selepas menerima rawatan di HBM pada Ahad lalu akibat melecur 90 peratus, manakala Razimie pula cedera di telinga kiri dan kaki kanan.

Sementara, Ramizie pula melecur di bahagian belakang badan ketika dikatakan cuba menyelamatkan adik-adiknya.

Setakat ini, punca kebakaran masih menjadi tanda tanya berikutan ia tidak memusnahkan struktur rumah berkenaan, tetapi mengorbankan seorang mangsa manakala seorang parah dan seorang lagi cedera ringan.

Difahamkan, penduduk kampung yang memadamkan kebakaran kecil terbabit sebelum ketibaan anggota bomba menemui petrol yang disimpan dalam rumah berkenaan.

Berita berkaitan

  • Dua beradik melecur disambar api
  • Mangsa kebakaran meninggal dunia]
  • 'Badan dia penuh api' - ibu saudara
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 4:49 PM