LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Nur Izzati Mohamad


LELAKI yang melecur 90 peratus bahagian badannya akibat kebakaran rumah di Kampung Pulau Pisang, Machang Bubok, Bukit Mertajam, tengahari semalam, meninggal dunia pagi ini.

Dalam kejadian semalam, Razmie Abd Razak, 26, dan abangnya, Ramizie, 34, melecur disambar api akibat kebakaran berlaku di ruang tamu rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata pihaknya menerima panggilan menyatakan bahawa Razmie meninggal dunia pada 9.50 pagi oleh petugas perubatan hospital.

"Pihak hospital memaklumkan bahawa seluruh anggota badan Razmie melecur 90 peratus manakala abangnya melecur 23.5 peratus dibahagian belakang badan.

"Akibat kecederaan serius dialami Razmie menyebabkan dia tidak dapat diselamatkan dan menghembuskan nafas terakhir pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafee berkata, dalam kejadian tengahari semalam ibu mangsa berada di dapur sedang memasak sebelum terdengar bunyi seperti kayu terbakar.

"Bagaimanapun dia terkejut apabila melihat tiga anak lelakinya disambar api lalu keluar meminta pertolongan jiran," katanya

Jelasnya, seorang lagi mangsa berusia enam tahun hanya cedera ringan di bahagian telinga kiri manakala dua abangnya dibantu penduduk kampung sebelum menunggu ketibaan anggota bomba.

Kejadian 12.57 tengahari itu tidak memusnahkan struktur rumah berkenaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Difahamkan, tiga beradik lelaki itu sedang berehat di ruang tamu sebelum berlaku kebakaran yang memusnahkan beberapa peralatan rumah mereka.

Mangsa yang berada dekat dengan peralatan yang terbakar itu dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri lalu disambar api.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 1:54 PM