KEADAAN rumah mangsa. FOTO Mary Victoria Dass
KEADAAN rumah mangsa. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

“KETIKA memasak, tiba-tiba saya terdengar jeritan meminta tolong,” kata saksi kebakaran sebuah rumah dua tingkat dihuni tujuh beranak di Taman Nora, Johor Bahru, hari ini.

Pada kejadian kira-kira 11 pagi itu, seorang budak lelaki melecur di bahagian muka, manakala anak yang lain mengalami kecederaan selain rambut mereka juga terdapat kesan seperti disambar api.

Saksi berkenaan yang enggan dikenali berkata, selepas mendengar jeritan itu, dia meninjau di luar rumah dan melihat asap tebal dari tingkap tingkat atas rumah jiran.

Menurutnya, jeritan itu mungkin daripada kanak-kanak di tingkat atas dan tanpa budak berkenaan tidur di ruang tamu di tingkat bawah.

“Saya agak cemas kerana setahu saya kesemua anak pasangan itu biasanya tidur di tingkat atas.

“Mujur, panggilan saya membuatkan suami isteri terkejut sebelum lelaki berkenaan pantas berlari ke tingkat atas bagi meninjau keadaan anak mereka.

“Seorang demi seorang anak mereka diselamatkan dan dibawa turun termasuk seorang anak lelaki pasangan itu melecur di bahagian muka,” katanya.

Menurutnya, lima beradik itu kemudian dibawa ke hospital berhampiran.

Dia juga meminta bantuan penduduk sekitar untuk membantu keluarga termasuk memadam kebakaran.

“Hampir 50 peratus kebakaran dapat dipadam sebelum ketibaan pasukan bomba dan ia mampu mengelakkan api marak ke rumah sebelah,” katanya.

Menurutnya, keluarga itu berpindah ke rumah sewa itu sejak kira-kira dua bulan lalu dan kami tidak menjangka mereka ditimpa dugaan seumpama ini.

“Kami difahamkan pasangan itu bekerja syif malam. Sebagai jiran kami berharap keadaan anak mereka sembuh dengan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 7:49 PM