MUHD Nur Syam (kiri) mengingatkann orang ramai supaya tidak berkongsi berita tidak sahih. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MUHD Nur Syam (kiri) mengingatkann orang ramai supaya tidak berkongsi berita tidak sahih. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mengingatkan orang ramai supaya tidak menularkan perkara tidak sahih sehingga boleh mengganggu operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang masih hilang di perairan Kemasin, Bachok.

Pengarahnya, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang menyebarkan maklumat tidak sahih kerana secara tidak langsung boleh mengganggu emosi keluarga dan mangsa yang terselamat.

Katanya, sejak semalam tular di media sosial mengatakan mayat kelima pemancing yang hilang dijumpai di sempadan Thailand manakala dua lagi mayat mangsa dikatakan berada di dalam bot.

"Saya menafikan kedua-dua berita yang tular itu memandangkan saya sendiri yang mengetuai SAR berkenaan.

"Mayat Ahmad Syafiq Che Alim, 29, yang dikatakan dijumpai di sempadan Thailand sebenarnya ditemui dalam ruang rehat bot dan saya juga berada di lokasi ketika mayat mangsa dinaikkan oleh pasukan penyelamat," katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Kemasin, Bachok, hari ini.

Katanya, pada masa sama, netizen mengatakan dua lagi pemancing yang hilang berada di dalam bot yang terbalik itu.

"Disebabkan pihak kami menunda bot itu ke muara Kemasin, ada di antara mereka yang beranggapan kemungkinan mangsa yang berada di dalam bot hanyut keluar ketika bot ditunda.

"Sebelum menunda bot, pasukan penyelamat sudah memeriksa keseluruhan bahagian dalam bot dan mendapati tidak ada mangsa yang terperangkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 8:30 PM