ARWAH Muhammad Adib Mohd Kassim
ARWAH Muhammad Adib Mohd Kassim
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS melengkapkan siasatan dan menyelesaikan arahan yang dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya membabitkan arwah Muhammad Adib Mohd Kassim selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kes itu sedang dalam tindakan dan akan dihantar semula kertas siasatan serta berbincang dengan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Buat masa ini kita sedangkan lengkapkan kertas siasatan seperti yang diarahkan," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata, kertas siasatan berhubung kenyataan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya selepas ia dilengkapkan nanti.

"Tindakan selanjutnya akan diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Sebelum ini Hannah menafikan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkahwinan bawah umur di laman sosial Facebooknya yang didakwa palsu dan berunsur fitnah.

Hannah sebelum itu dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman untuk dirakam keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 6:11 PM