Nur Lela Zulkipli


POLIS mungkin memanggil semula individu yang disyaki dalam insiden membabitkan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, November tahun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan selepas kematian Muhammad Adib diputuskan akibat tindakan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali.

Menurutnya, siasatan juga akan melihat siapa individu yang memukul Muhammad Adib.

“Perkara ini akan disiasat lebih lanjut dengan jabatan jenayah selepas kita menerima laporan penuh inkues mahkamah.

“Sama ada kita panggil semula, kita akan tengok berdasarkan kenyataan yang diberikan sebelum ini. Jika ada tokok tambah kita akan rekod semula keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Shah Alam hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik Timbalan Ketua Polis Selangor.

Arjunaidi menggantikan Datuk Ab Rashid Ab Wahab yang bersara wajib 30 September ini.

Terdahulu, pagi ini Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya itu adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu dan meninggal dunia 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 12:32 PM
    NOOR Azam (tengah) menyaksikan penyerahan sijil Ab Rashid (kiri) kepada Arjunaidi (kanan). FOTO Faiz Anuar
    NOOR Azam (tengah) menyaksikan penyerahan sijil Ab Rashid (kiri) kepada Arjunaidi (kanan). FOTO Faiz Anuar