HUZIR akan bersara wajib esok. FOTO arkib NSTP
HUZIR akan bersara wajib esok. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed akan bersara wajib esok, selepas 39 tahun menyumbang bakti dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJ Bukit Aman, Datuk Dev Kumar akan memangku jawatan Pengarah JSJ.

Huzir, 59, menyertai PDRM pada 27 Disember 1982 sebagai Pelatih Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Selepas tamat latihan, beliau ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sebagai Pegawai Penyiasat selama tiga tahun.

Selain itu, beliau menyandang beberapa lagi jawatan penting antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di beberapa IPD dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ketua Penolong Pengarah (D9) serta Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Skuad Taktikal Khas 1 JSJ Bukit Aman.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) JSJ Bukit Aman pada 2017 dan mengambil alih jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman pada 2019 sehingga kini.

Sepanjang kariernya itu, Huzir turut melakar beberapa kejayaan kes berprofil tinggi antaranya menyelesaikan kes kehilangan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Kelvin Morais, menahan 57 ahli kumpulan jenayah terancang Geng 360 Devan dan terbabit dalam beberapa siri Op Cantas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 5:25 PM