Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pengeluaran serentak selain tidak dapat mengeksport ke luar negara menjadi faktor utama harga durian Musang King dan beberapa klon terkenal kini jatuh berbanding sebelum ini.

Lebih ketara apabila durian Musang King gred A yang sebelum ini dijual antara RM50 hingga RM70 sekilogram (kg) kini turun antara RM20 hingga RM30 kg.

Peniaga buah, Mohd Kamarul Hafsan, 37 berkata, pada musim ini dia terpaksa menjual durian klon pada harga rendah berikutan harga ladang yang lebih murah.

Selain itu, katanya pengeluaran durian terutama di Johor kini berlaku secara serentak, dan pekebun perlu memasarkan buah segera bagi mengelak rosak, sekali gus menyebabkan harga jatuh secara menyeluruh.

Menurutnya, setiap hari dia menerima bekalan buah terus dari ladang di Johor dan Maran, termasuk jenis kampung serta klon seperti Musang King, Kunyit, Udang Merah, IOI, Kasak Merah dan Tupai King.

"Disebabkan harga ladang yang rendah dan tidak boleh dieksport saya boleh menjual raja buah itu pada harga antara RM6 hingga RM30 kg.

"Rata-rata peminat raja buah itu berpeluang merasa durian klon musim ini pada harga rendah, sebelum ini mereka hanya mampu melihat sahaja Musang King yang dianggap buah harga kayangan," katanya di sini.

MOHD Kamarul (kanan) melayan pelanggan di gerai jualan durian di Jalan Gambang-Kuantan dekat Batu Tiga. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Kamarul (kanan) melayan pelanggan di gerai jualan durian di Jalan Gambang-Kuantan dekat Batu Tiga. FOTO Mohd Rafi Mamat

Dia yang berniaga di tepi Jalan Gambang-Kuantan dekat Batu Tiga, di sini berkata, dia mampu menjual lebih tiga tan pelbagai jenis durian sehari sejak seminggu lalu.

Mohd Kamarul berkata, permintaan durian kali ini begitu menggalakkan, dan setiap hari antara 200 hingga 300 pelanggan singgah ke pusat jualan 'Mok marah jual mahal' di sini, yang turut menyediakan kawasan menjamu selera.

"Jualan durian tahun ini dijangka berlarutan sehingga tiga bulan, penggemar durian pastinya puas dapat menikmatinya pada harga murah dalam jangka masa panjang.

"Saya kini dibantu lapan pembantu untuk melayan pelanggan yang bertambah dua hingga empat kali ganda pada hujung minggu yang turut datang dari Kuala Lumpur, Selangor dan Perak," katanya yang sudah lima tahun berniaga di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 11:25 AM