MOHD Sharkar  (duduk tengah) menikmati durian kampung bermutu tinggi di Kampung Ulu Cheka. FOTO Roselan Ab  Malek
MOHD Sharkar (duduk tengah) menikmati durian kampung bermutu tinggi di Kampung Ulu Cheka. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


KERAJAAN Pahang akan menjadikan kampung Ulu Cheka dekat Jerantut sebagai hub durian kampung melalui program Durio Tourism atau Pelancongan Durian sebagai tarikan pelancongan baru ke Pahang.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sebelum ini daerah Raub dan Bentong dikenali sebagai lembah durian, khususnya bagi durian klon seperti Musang King.

Katanya, kerajaan negeri akan menjadikan Ulu Cheka sebagai tarikan baharu menikmati durian kampung memandangkan dusun durian di situ ditanam sejak puluhan tahun dahulu, selain terkenal di Pahang kerana rasanya yang sedap.

"Lebih menarik ada nama durian tempatan yang unik kerana keenakannya seperti durian Kepala Gajah, Ganja, Tangkai Panjang, Sri Damak dan lain lain nama yang unik serta mempunyai rasa yang berlainan.

"Malah di sini juga penduduk kampung turut menanam durian klon seperti Musang King, D24, 101 tetapi ditanam secara tradisi dan organik tanpa menggunakan racun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melihat produk pelancongan Ulu Cheka di Jerantut hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Pahang, Datuk Idros Yahya, dan Pengurus Besar Tourism Pahang Datuk Ishak Mokhtar.

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tarikan durian Ulu Cheka terbukti apabila seorang penjual durian, Ahmad Mustaffa, 40 mampu menjual sebanyak enam hingga lapan tan durian sehari kepada pengunjung yang datang dari luar.

Menurutnya, dalam masa yang sama, penduduk kampung boleh menyediakan anak benih durian kampung bermutu kepada pengunjung yang ingin membuat kebun durian.

Katanya, dalam masa yang sama penduduk kampung digalakkan menyediakan inap desa bagi memberi peluang pelancong merasai suasana kampung dan dapat mengutip sendiri durian yang gugur.

"Inap desa berasaskan kebun durian adalah satu tarikan baru bagi pelancong yang ingin merasai suasana kampung dan mengutip sendiri buah durian.

"Selain itu, kawasan ini turut mempunyai kawasan rekreasi seperti kawasan air terjun dan anak sungai yang jernih airnya serta gunung Benon bagi yang meminati aktiviti mendaki gunung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 6:10 PM