FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

MAHKAMAH Khas Rasuah di Sri Aman, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 hari dan denda RM75,000 ke atas seorang peniaga kerana cuba merasuah pegawai polis.

Ting Hua Thai, 53, mengaku bersalah di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong, atas pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ikhwan Mohd Ibrahim.

Dalam penghakimannya, Nixon Kennedy memerintahkan supaya hukuman penjara itu bermula hari ini dan wang RM15,000 yang ditawarkan Ting sebagai wang rasuah dalam kes itu dilucuthak untuk diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Ting yang membayar denda sebelum itu didakwa menawar dan memberikan wang rasuah berkenaan kepada pegawai yang mengetuai sepasukan anggota dari Batalion ke-10 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang memeriksa sebuah rumah di Taman Mayfair, Sri Aman pada 27 September 2019.

Pemeriksaan itu dibuat selepas rumah berkenaan disyaki digunakan untuk menyimpan rokok pelbagai jenis yang belum diluluskan Jabatan Kastam, satu kesalahan di bawah Seksyen 135, Akta Kastam 1967 dan Ting menawarkan rasuah itu sebagai balasan supaya pasukan itu tidak mengambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 2:16 PM