Oleh Rabi 'Atul ' Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kuching di sini, atas tuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1,500 daripada seorang lelaki pada 8 Julai 2013.

Tertuduh, Sarjan Zainudin Samad, 52, bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan mengaku tidak bersalah meminta dan menerima wang sebanyak RM1,500 daripada Rano Paimin, 35, di sebuah restoran di Kota Samarahan.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong membenarkan mangsa diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 17, 20 dan 21 November depan.

Di mahkamah sama, seorang pengurus syarikat balak Ling Sin Ching, 50 mengaku tidak bersalah memberi RM2,000 kepada Asisten Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff pada 4 September lalu bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan kerana menjalankan aktiviti pembalakan tanpa kebenaran.

Nixon membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 24 dan 26 November ini.

Kedua-dua pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Ikhwan Mohd Ibrahim.

Tamat13

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Oktober 2014 @ 10:47 AM