Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Sibu: Mahkamah Khas Rasuah Sibu menjatuhkan hukuman 46 bulan penjara dan denda RM80,000 terhadap seorang pegawai polis kerana didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah untuk melindungi aktiviti pembalakan haram di Kapit, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman itu terhadap Inspektor Mohd Nazri Daheri, 37, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 kerana menerima wang berjumlah RM16,000 daripada seorang lelaki di tiga lokasi berasingan pada 24 Ogos, 11 September dan 20 Oktober 2014.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Nazri dihukum penjara 12 bulan dan denda RM15,000; pertuduhan kedua dipenjara 14 bulan dan denda RM25,000 manakala pertuduhan ketiga dipenjara 20 bulan dan denda RM40,000.

Nixon mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Kathrine Nais manakala tertuduh diwakili peguam Jacob Wong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 3:12 PM