Oleh Alias Abd Rani

Sibu: Mahkamah Khas Rasuah, di sini, menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara 45 hari ke atas seorang penyelia syarikat pembalakan selepas mengaku bersalah atas tuduhan rasuah pagi tadi.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh Law Ling Chai, 47, kerana cuba memberi suapan sebanyak RM2,000 kepada Inspektor Mohamad Dzakriya Abdul Kader dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa, Kuching.

Mengikut fakta kes, tertuduh cuba memberi suapan itu sebagai dorongan supaya tidak dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Sarawak 1957 susulan pembabitan dalam aktiviti pembalakan haram.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di lokasi pembalakan di Kampung Boyan, Jalan Selangau-Mukah pada 8 September lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 2:30 PM