Datuk Iskandar maklum KPDNHEP akan terus giatkan operasi gempur sindiket penyelewengan LPG, petrol dan diesel subsidi.
Datuk Iskandar maklum KPDNHEP akan terus giatkan operasi gempur sindiket penyelewengan LPG, petrol dan diesel subsidi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


GASAK sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG), petrol dan diesel subsidi dalam negara habis-habisan.

Itu tekad penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) dalam membenteras Kegiatan penyelewengan barangan subsidi utama itu.

Ini dibuktikan apabila KPDNHEP melakukan 174 operasi dan serbuan di seluruh negara sejak Januari hingga semalam.

Difahamkan operasi membabitkan 33 kes penyelewengan diesel, 75 kes penyelewengan petrol dan 66 kes penyelewengan LPG.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, semua serbuan dan tindakan diambil itu membabitkan jumlah rampasan barangan bernilai lebih RM2.8 juta.

Menurutnya, pihak KPDNHEP mengesan beberapa modus operandi digunakan sindiket antaranya mengguna pakai lesen milik individu lain untuk menjalankan kegiatan.

"Malah, sindiket dikesan mendapatkan bekalan daripada pemborong sah di negara ini. Sindiket tidak lagi membeli barangan subsidi ini di kedai runcit atau lokasi terbuka seperti sebelum ini.

"Apa yang dikesan adalah penyelewengan berlaku di peringkat pemborong. Taktik dan ketirisan ini didedahkan hasil pemeriksaan pegawai KPDNHEP pada buku audit dan stok di kilang pemborong," katanya.

Menurutnya, LPG, diesel atau petrol yang diseleweng ini kemudian dipindahkan ke stor haram sebelum dijual semula pada harga industri.

"KPDNHEP akan menggiatkan lagi pemeriksaan dan operasi antaranya Op Tiris dan Op Jeriji bagi membanteras kegiatan ini. Kami turut akan melaksanakan audit dan naziran berkala terhadap pengilang, pembungkus dan peruncit," katanya.

Dalam kes terbaru minggu lalu, sepasukan 10 pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP Ibu Pejabat Putrajaya bertindak menyerbu sebuah stor industri di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor.

Risikan mendapati, premis itu digunakan sebagai tempat untuk memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri.

Dalam pemeriksaan itu, anggota pasukan KPDNHEP menemui sejumlah 103 tong LPG seberat 50 kilogram (kg) setiap satu yang digunakan untuk industri.

Turut ditemui 14 tong berisi LPG seberat 14 kg setiap satu untuk kegunaan domestik dan 190 tong LPG kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 9:58 PM