PREMIS bengkel cat yang diserbu selepas dikesan menjalankan kegiatan memindahkan tong LPG bersubsidi di Rantau.
PREMIS bengkel cat yang diserbu selepas dikesan menjalankan kegiatan memindahkan tong LPG bersubsidi di Rantau.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Munculnya jutawan haram apabila sindiket dengan mudah mengaut untung bersih sekitar RM20 bagi setiap tong gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram ( kg) subsidi diseleweng.

Secara kasar sindiket mampu memperoleh laba RM10,000 bagi setiap 500 tong LPG bersubsidi yang dipindahkan ke tong LPG industri 50 kg sebelum dijual semula antara RM150 hingga RM200 setong.

Terbaru pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar markas sindiket penyelewengan LPG subsidi di Rantau, Negeri Sembilan.

Kejayaan itu hasil risikan Seksyen Perisikan (SPR) KPDNHEP Putrajaya yang melakukan intipan sejak beberapa hari lalu sebelum serbuan dilakukan jam 1.30 petang semalam.

Sumber berkata, sindiket dikesan beroperasi di sebuah premis bengkel cat yang dijadikan lokasi menjalankan aktiviti pemindahan gas LPG subsidi ke tong LPG industri secara haram.

"Bagi mengaburi kegiatan, sindiket sengaja meletak bas ekspres di hadapan premis selain beberapa kenderaan lain.

"Taktik itu gagal menghalang pihak KPDNHEP melakukan serbuan dan mendapati wujud aktiviti memindahkan gas LPG dari tong LPG subsidi bersaiz 14 kg ke dalam tong LPG industri bersaiz 50kg," katanya.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, KPDNHEP menahan lapan individu babit tiga warga asing dan empat warga tempatan.

"Semua mereka didapati sedang melakukan kegiatan memindahkan gas subsidi ke dalam tong LPG industri.

"Siasatan lanjut menemui lebih 500 tong LPG 14kg dan 115 tong LPG industri seberat 50kg. Turut dirampas alat penimbang, paip penyambung, tong ais dan dua lori," katanya.

Menurutnya, rampasan dianggarkan bernilai lebih RM100,000 dan sindiket dikesan mula beroperasi di bengkel itu sejak tiga bulan lalu.

"Siasatan kini dilakukan mengikut Seksyen 21 dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Kejayaan itu adalah rampasan terbaru selepas KPDNHEP merampas 92 LPG subsidi di sebuah premis menjalankan perniagaan menjual gas tanpa lesen di Taman Daya, Johor.

KPDNHEP turut menumpaskan kegiatan penyelewengan LPG bersubsidi susulan serbuan di sekitar bandar Seremban serta Port Dickson, Negeri Sembilan bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 6:30 AM