ANTARA operasi KPDNHEP membabitkan LPG subsidi yang diseleweng sindiket seluruh Malaysia terutama di Lembah Klang.
ANTARA operasi KPDNHEP membabitkan LPG subsidi yang diseleweng sindiket seluruh Malaysia terutama di Lembah Klang.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


OPERASI haram sedut gas membolehkan lebih 20 sindiket seluruh negara mengaut untung mencecah ratusan ribu ringgit sebulan hanya melalui kegiatan memindah dan menjual gas petroleum cecair (LPG) subsidi kepada pihak industri.

Lebih mengejutkan apabila kegiatan penyelewengan gas LPG subsidi yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan sejak lima tahun lalu dikesan turut didalangi pihak pembekal gas LPG berlesen.

Sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, siasatan dalam beberapa kes terbaru mendapati wujud komplot terancang membabitkan segelintir pembekal berlesen yang bersekongkol melakukan aktiviti pemindahan LPG di premis haram.

“Mereka ini tidak menjual tong gas LPG subsidi memasak kepada pengguna sebaliknya menghantar tong gas ini ke markas sindiket. Kuncu sindiket kemudiannya akan menjalankan tugas memindahkan gas subsidi ini ke dalam tong industri.

“Kebiasaannya mereka menggunakan kaedah api dan ais untuk memindahkan gas dari tong LPG memasak ke tong LPG industri menggunakan,” katanya.

Menurutnya, kaedah kuno ini membabitkan penggunaan ais atau merendam air panas pada tong LPG bagi membolehkan gas dipindahkan menggunakan tiub khas.

“Risikan mendapati kegiatan sindiket menjual LPG subsidi ini masih berlaku di seluruh negara terutama di kawasan perindustrian dan berkepadatan tinggi.

“Ketika ini harga bagi satu tong LPG subsidi seberat 14 kilogram (kg) adalah RM26. Ini bererti setiap kg gas LPG subsidi berharga RM1.85.

“Manakala setong gas LPG industri seberat 50 kg dijual antara harga RM150 hingga RM200 mengikut harga ditetapkan pembekal,” katanya.

PEMBEKAL berlesen bersubahat dengan sindiket seleweng gas LPG bersubsidi.
PEMBEKAL berlesen bersubahat dengan sindiket seleweng gas LPG bersubsidi.

Dia berkata, mengambil kira harga pasaran ini, sindiket mampu memperoleh keuntungan atas angin sekurang-kurangnya RM50 bagi setiap tong LPG industri dijual.

“Risikan mendapati kebanyakan LPG subsidi ini dijual kepada pengilang, restoran, kedai dobi dan syarikat yang memerlukan gas LPG untuk beroperasi.

“Sekiranya setiap sindiket berupaya membekalkan 50 hingga 100 tong LPG industri sehari, bererti mereka mampu memperolehi pendapatan bersih melebihi RM100,000 sebulan tanpa perlu mengeluarkan modal.

“Malah, jika mengambil kira jumlah sindiket yang ditumpaskan sebelum ini, angka kasar keuntungan diperolehi sindiket mencecah sehingga melebihi RM20 juta setahun bukanlah mustahil,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP akan meneruskan usaha menjejaki sindiket ini termasuk mengambil tindakan terhadap pembekal yang bersekongkol dan menipu dokumentasi.

“Kami akan bertindak agresif mendakwa mereka di mahkamah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM2 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam kes terbaru 5 November lalu, KPDNHEP Selangor menyita 335 tong LPG bersubsidi dan industri bernilai RM88,000 hasil serbuan di sebuah premis di Pulau Indah, Klang.

Dua hari berikutnya, KPDNHEP Cawangan Kajang turut menyita 35 tong LPG subsidi dianggarkan bernilai lebih RM10,000 dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Chua, Kajang.

Manakala pada Isnin lalu, anggota perisikan KPDNHEP Putrajaya berjaya merampas 336 tong LPG subsidi dianggarkan bernilai RM135,900 dari sebuah premis di Jalan 1, Meru, Klang, Selangor.

PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah (dua dari kiri) memeriksa tong gas LPG subsidi.
PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah (dua dari kiri) memeriksa tong gas LPG subsidi.

201 kes ketirisan gas LPG diambil tindakan

Sebanyak 201 kes berkaitan ketirisan gas petroleum cecair (LPG) subsidi diambil tindakan di seluruh negara membabitkan nilai rampasan berjumlah RM3,531,857 sejak Januari 2019.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosli Ahmad berkata, tindakan membabitkan sitaan silinder gas LPG sebanyak 16,042 unit hasil operasi dilakukan pihaknya.

Menurutnya, KPDNHEP sudah mengambil pelbagai langkah pembangunan dasar dan penguatkuasaan seperti mewujudkan Pelan Tindakan Menangani Penyelewengan LPG Bersubsidi dan operasi bersama agensi penguatkuasaan bagi menangani isu ketirisan ini.

“Malah KPDNHEP menjalankan pemeriksaan berkala, naziran serta pengauditan ke atas industri-industri yang menggunakan LPG dalam operasi perniagaan mereka bagi menangani kegiatan penyeludupan dan penyelewengan LPG bersubsidi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya hasil naziran mendapati terdapat penyelewengan dan penyeludupan LPG bersubsidi, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 atau Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA 2001).

“Hasil pemeriksaan dan naziran dijalankan oleh KPDNHEP mendapati kawasan-kawasan perindustrian dan sempadan negara adalah lokasi yang kerap berlakunya aktiviti penyelewengan LPG bersubsidi,” katanya.

Dalam rumusan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018, kerajaan didakwa menanggung kerugian hampir RM1.717 bilion dalam tempoh dua tahun akibat penggunaan silinder LPG bersubsidi oleh pengguna bukan daripada golongan sasar.

Kerugian ditanggung itu adalah dari tahun 2015 hingga 2017.

Pemantauan fizikal audit mengesahkan perniagaan seperti dobi dan kedai makan menggunakan LPG bersubsidi dalam operasi harian perniagaan mereka walaupun sepatutnya menggunakan LPG komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 7:00 AM