Foto hiasan
Foto hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KERAJAAN tidak bercadang menyenaraikan daun ketum sebagai satu keluaran komoditi negara buat masa ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Keluaran Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses meneliti manfaat dan keburukan daun ketum.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan tidak berhasrat untuk memasukkan daun ketum sebagai keluaran perdagangan sebaris keluaran komoditi lain di negara ini.

"Saya berasa semua sedia maklum mengenai isu daun ketum ini dan walaupun ada negatif dan positif yang dikaitkan dengannya, saya berasa biar KKM jalankan penyelidikan terlebih dahulu.

"Di pihak kami, belum ada cadangan untuk mengiktirafnya sebagai komoditi dan tidak (pernah) bercadang untuk berbuat demikian," katanya ketika ditemui di Kangar hari ini.

Terdahulu beliau menziarahi Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin di kediamannya di Sanglang.

Mengulas mengenai hala tuju komoditi negara, Khairuddin berhasrat memperkasa keluaran komoditi negara sedia ada terlebih dahulu.

"Buat masa ini kita mahu memperkasakan apa yang ada terlebih dahulu seperti kelapa sawit, getah, kayu kayan, koko, lada dan kenaf terlebih dahulu.

"Kemudian baru kita lihat hala tuju yang lebih besar," katanya.

Bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Zahidi Zainul Abidin pernah menyuarakan agar penanaman daun ketum dibenarkan sebagai usaha membantu pekebun kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 7:06 PM