FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menubuhkan Jawatankuasa Pestalotiopsis dalam usaha menangani penyakit luruhan daun pokok getah di negara ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia yang dibentuk pada tahun lalu bertujuan menyelaras tindakan secara menyeluruh bagi mengawal penyakit itu serta membincangkan isu-isu dan permasalahan berkaitan.

Menurutnya, jawatankuasa itu dianggotai oleh KPPK, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Jabatan Pertanian, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Jabatan Pertanian Sarawak, MARDI, Jabatan Kimia Malaysia, serta Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM).

Katanya, selain itu jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FELCRA, Sime Darby Plantation dan Applied Agricultural Resources (AAR) Sdn Bhd.

"LGM juga mengambil langkah proaktif memulakan usaha-usaha bagi mengawal penyakit ini daripada merebak seperti membuat rawatan semburan racun kulat kepada daun getah yang dijangkiti serta memberi khidmat nasihat kepada pekebun kecil bagi mengawal dan menghapuskan jangkitan itu.

"Racun kulat dengan bahan kandungan aktif seperti propiconazole, benomyl, chlorothalonil, mancozeb dan propineb didapati mampu untuk merencatkan pertumbuhan kulat Pestalotiopsis itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, KPPK melalui LGM mengesan penyakit itu sejak 2017 apabila pokok getah akan mengalami luruhan daun yang ketara dan tidak mengikut musim selain tompok-tompok berwarna coklat pada daun.

"Pokok yang diserang penyakit ini juga menyebabkan pengeluaran susu getah menjadi berkurangan," katanya.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin berkata, bahan aktif propiconazole (racun sistemik) yang berada di pasaran boleh merencatkan pertumbuhan kulat dengan ketara.

Katanya, pihaknya melalui LGM dengan kerjasama agensi berkaitan akan berusaha mengawal penularan penyakit itu dan pekebun boleh menghubungi pejabat LGM terdekat atau mengajukan sebarang pertanyaan kepada [email protected].

Sehingga akhir Disember lalu, ladang getah seluas 18,812.98 hektar di hampir semua negeri kecuali di Pulau Pinang, Perlis dan Sabah didapati diserang penyakit itu.

Penyakit sama turut menyerang pokok getah di negara-negara pengeluar getah lain seperti Indonesia (387,000 hektar), Thailand (122,530 hektar), Sri Lanka (20,000 hektar) dan India (300 hektar).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 5:39 PM