MUZIUM Diraja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah antara yang mula dibuka hari ini. FOTO Amran Yahya.
MUZIUM Diraja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah antara yang mula dibuka hari ini. FOTO Amran Yahya.
Amran Yahya


LIMA muzium di bawah kelolaan Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dibuka mulai hari ini.

Pengarah LMNS, Drs Shamsuddin Ahmad berkata, muzium terbabit adalah Muzium Negeri di Seremban; Teratak Za'ba di Batu Kikir Jempol; Muzium Rembau di Astana Raja Rembau; Kompleks Megalith di Pengkalan Kempas Port Dickson dan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah.

"Bagaimanapun, beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan perlu dipatuhi pengunjung sebelum dibenarkan masuk ke dalam kompleks muzium.

"Had umur yang dibenarkan hanyalah 13 hingga 60 tahun sahaja manakala lawatan berkumpulan buat masa ini tidak dibenarkan.

"Hanya warga Malaysia dibenarkan, dan tiada pemandu lawatan disediakan untuk pengunjung, malah pergerakan mereka sentiasa dipantau," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsuddin berkata, paling penting pelawat diwajibkan menjalankan imbasan suhu badan dan mereka yang melebihi 37.5 darjah Celsius tidak dibenarkan masuk.

"Sepanjang lawatan, pelawat digalakkan memakai pelitup muka semasa berada di dalam galeri pameran dan sekitar kompleks muzium.

"Bagi mereka yang menghidap penyakit kronik dinasihatkan tidak memasuki ke galeri pameran kerana mereka golongan berisiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 10:59 AM