KARTINA (tengah) memegang tangan ibunya, Mek Mamat, sebaik mereka bertemu di rumah ibunya di Jalan Batu 48, Dungun. FOTO Rosli Ilham
KARTINA (tengah) memegang tangan ibunya, Mek Mamat, sebaik mereka bertemu di rumah ibunya di Jalan Batu 48, Dungun. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

"SAYA nak pegang tangan mak," bisik pesakit barah, Kartina Muda sebaik dibawa bertemu dengan ibunya, Mek Mamat yang tinggal di Jalan Batu 48, Dungun hari ini.

Kesihatan Kartina, 52, yang menghidap barah otak tahap empat semakin merosot kebelakangan ini dan kelihatan air matanya berguguran sebaik dapat memegang tangan ibunya berusia 95 tahun itu.

Kartina dapat meluangkan masa bersama ibunya yang mengalami strok sejak lima tahun lalu kira-kira dua jam bagi meredakan kerinduan mereka.

Suami Kartina, Zainuddin Sulaiman, 58, berkata, isterinya mengikutnya menetap di Rumah Murah Kampung Tuk Randok di Ajil, Kuala Berang selepas mereka berkahwin.

"Isteri sangat sayang dengan ibunya dan sebelum ini memang setiap minggu akan pulang ke Dungun melawat ibu mentuanya itu.

"Bagaimanapun, dua beranak itu tidak bertemu selepas kesihatan isteri saya mula merosot sejak Mac lalu," katanya.

Menurutnya, isterinya merupakan anak ketujuh daripada sembilan beradik pernah disahkan menghidap kanser usus pada 2017 dan selepas menjalani pembedahan dia sudah pulih sepenuhnya.

"Bagaimanapun, isterinya mengadu sakit kepala pada 18 Mac lalu dan saya bawa dia buat pemeriksaan sebelum dikejutkan dengan berita terdapat ketumbuhan dalam kepalanya.

"Doktor sahkan dia mengidap kanser otak dan sejak itu dia sering mengadu kepalanya sangat sakit terutamanya pada waktu malam," katanya.

Menurutnya, dia sangat sedih dan sering menangis apabila melihat keadaan isterinya setiap kali penyakit itu menyerang.

"Sejak dari itu kesihatan isteri mulai merosot dan badannya menjadi kurus, tidak boleh bangun dan berjalan serta sudah tidak lalu makan walaupun cuba dipujuk," katanya.

Zainuddin berkata, beberapa hari lalu isterinya itu ada beritahu mahu bertemu dengan ibunya memandangkan sudah tiga bulan tidak menjenguknya.

"Pada mulanya bimbang untuk bawa dia dengan kereta kerana keadaannya sangat uzur tetapi syukur apabila Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rasol Wahid bantu dapatkan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk pulang ke Dungun," katanya.

Sementara itu, Rosol berkata, beliau bantu dapatkan ambulans Angkatan Pertahanan Awam untuk merealisasikan hajat Kartina bertemu ibunya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, pihaknya juga menyampaikan bantuan kerusi roda, katil boleh laras serta lampin pakai buang selain sumbangan peribadi untuk kegunaan Kartina dan meringankan bebanan suaminya.

"Hati saya tersentuh apabila dimaklumkan mengenai keadaan Kartina yang kini terlantar dan berusaha menunaikan hajatnya untuk bertemu ibu tersayang yang turut keuzuran kerana masalah strok.

"Alhamdulillah kita bersyukur akhirnya hajat Kartina untuk bertemu ibunya tercapai. Kita simpati dengan keadaan dua beranak itu sambil mendoakan mereka segera sembuh dan kembali sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 3:17 PM