BABAK menarik lakonan Que dalam Cahaya Malaika.
BABAK menarik lakonan Que dalam Cahaya Malaika.
BABAK sedih dalam telefilem ini.
BABAK sedih dalam telefilem ini.
ZAINUDDIN (dua dari kiri) dan Raja Mukhriz berbincang dengan semua pelakon.
ZAINUDDIN (dua dari kiri) dan Raja Mukhriz berbincang dengan semua pelakon.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Slot Cerekarama TV3 esok (Sabtu 3 Januari 2015) akan membuka tirai dengan menyiarkan telefilem menarik berjudul Cahaya Malaika terbitan Enuja Production Sdn Bhd.

Telefilem arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin ini menampilkan barisan pelakon hebat iaitu Que Haidar, Sharifah Shahora, Riz Amin, Roy Azman, Normah Damanhuri dan ramai lagi.

Skrip tulisan Ellyna Ahmad ini mengisahkan penderitaan seorang suami, Ezra (Que) yang menderita akibat menghidap barah otak. Ezra, seorang penulis menghadapi saat sukar untuk menghasilkan novel, seterusnya dibebani hutang yang banyak, sekaligus membuatkan isterinya, Lily dan anak mereka, Hanna turut mendapat tempias kesusahan terbabit.

Ezra membawa keluarganya balik kampung dan tinggal di rumah peninggalan arwah ibunya untuk lari daripada along dan mahu memulakan kehidupan baru.

Bagaimanapun, dia tidak mengetahui yang Mak Ngah, adik kepada arwah ibunya mahukan rumah peninggalan itu untuk dijadikan rumah inap. Di sini kehidupan mereka semakin sukar, sekali gus membuatkan Ezra gagal menyiapkan novelnya manakala Lily pula mengambil keputusan meninggalkan Ezra dan Hanna untuk mengejar kekayaan dengan menjadi 'high class escort' di bandar.

Pelbagai konflik mula berlaku dalam kehidupan Ezra yang terpaksa membesarkan anaknya sendirian, ditambah pula dengan sikap Mak Ngah yang mula bencikan Ezra hanya kerana rumah peninggalan itu.

Dek kerana tekanan demi tekanan, Ezra menghidap sakit kepala dan seterusnya disahkan menghidap barah otak. Bagaimanapun, dia bertekad untuk menghabiskan novelnya untuk menjamin masa hadapan Hanna dan pada masa sama mahu terus melawan sakit dan haknya pada rumah peninggalan rumah arwah ibunya itu.

Bagi menjayakan wataknya dengan lebih berkesan, Que sanggup membotakkan kepalanya dalam telefilem ini. Baginya kepuasan peminat adalah segala-galanya.

"Saya sanggup buat begini kerana nak menghayati sebuah karakter yang sangat menarik. Saya tertarik dengan cerita yang memaparkan kisah lelaki yang menghidap barah otak.

"Dalam keluarga saya pun ada orang yang menghidap barah. Kakak saya menghidap barah perut dan sekarang masih dalam proses pemulihan. Dia sering merujuk kepada doktor mengenai perkembangan sakitnya.

"Benda ini sememangnya dekat dengan saya. Sebelum ini saya dan isteri pernah melawat kanak-kanak yang menghidap barah dan terlintas hasilkan drama mengenai penyakit ini. Moralnya adalah penyakit barah perlu dirawat dengan segera," katanya yang mengakui cerita ini boleh membuatkan peminat menitiskan air mata.

Penerbitnya, Zainuddin Mohd Ismail berkata, Cahaya Malaika tampil dengan kelainan kerana mengetengahkan isu pengorbanan seorang suami yang berdepan cabaran getir dalam hidupnya.

"Selalunya kita tengok kisah isteri yang menderita akibat diabaikan suami dan kemudian berdepan sakit barah. Di sini kami ubah situasi dengan menggambarkan ia berlaku terhadap seorang bapa pula.

"Apa perasaannya apabila kariernya semakin merudum dan pada masa sama isteri buat hal. Ini dinamakan kifarah, penghapus dosa seseorang sebelum mengadap pencipta-Nya. Saya memang nampak Que mampu buat watak ini kerana memerlukan mainan dalaman.

"Alhamdulillah, Cahaya Malaika dipilih sebagai pembuka tirai Cerekarama tahun ini dan paling penting ia disiarkan sempena Maulidur Rasul. Ini satu penghargaan buat saya kerana Enuja Production sering tampil dengan cerita berkonsep dakwah dalam hiburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:00 AM