Sebahagian remaja yang diperiksa kerana melakukan kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen dan tidak memakai topi keledar dalam operasi di Kampung Rasau dan Kampung Padang Durian. FOTO Ihsan PDRM
Sebahagian remaja yang diperiksa kerana melakukan kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen dan tidak memakai topi keledar dalam operasi di Kampung Rasau dan Kampung Padang Durian. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


BUNYI bising motosikal yang mengganggu penduduk di dua kampung di Pendang berikutan sekumpulan remaja berkumpul setiap petang berakhir apabila polis melakukan operasi khas, semalam.

Kawasan itu dikatakan menjadi laluan penduduk kampung untuk melakukan tugas harian, tetapi menjadi port menguji kelajuan motosikal sekumpulan penunggang sehingga menimbulkan kerisauan penduduk.

Dalam operasi di Kampung Rasau dan Kampung Padang Durian, bermula 6 petang hingga 8 malam itu, sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal berusia antara 14 hingga 20 tahun diperiksa polis.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, operasi dilakukan berikutan maklumat orang awam mendakwa tidak tahan dengan bunyi bising motosikal di kawasan itu, selain mengancam keselamatan penduduk.

Beliau berkata, operasi dilakukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang diketuai Inspektor Atiq Elias bersama 20 anggota.

"Sebanyak 32 saman dikeluarkan terhadap mereka di atas 34 kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen dan tidak memakai topi keledar serta kesalahan lain.

"Daripada 30 motosikal diperiksa, tiga daripadanya disita kerana pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai dan nombor pendaftaran 'fancy'.

"Tiada tangkapan dilakukan selepas saman dikeluarkan, tetapi kebanyakan mereka yang melakukan kesalahan itu adalah pelajar sekolah dan masih di bawah umur," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergerakan anak mereka terutama pada waktu petang kerana dikhuatiri terbabit dengan gejala tidak sihat seperti merempit dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 6:00 PM