POLIS menahan empat motosikal kerana mengubahsuai kenderaan termasuk ekzos di SUKE. FOTO ihsan Polis
POLIS menahan empat motosikal kerana mengubahsuai kenderaan termasuk ekzos di SUKE. FOTO ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Empat motosikal ditahan selepas didapati membuat pengubahsuaian dalam Operasi Motosikal dan Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) dan Bukit Permai, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi 11.30 malam itu susulan aduan orang awam mengenai masalah bunyi bising dari ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman penduduk.

"Hasil dari operasi berkenaan, sebanyak empat motosikal telah ditahan kerana melakukan pengubahsuaian yang berlebihan pada pelbagai komponen sedia ada. Kes disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, dalam operasi berkenaan, 104 saman dikeluarkan di atas kesalahan antaranya seperti mengubah suai struktur kenderaan, kesalahan nombor pendaftaran, gagal pamer lesen memandu dan cukai jalan serta cermin sisi.

"Pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan tidak mengubahsuai sebarang struktur sedia ada pada kenderaan sehingga membawa kepada pencemaran bunyi dan juga mengganggu kententeraman awam.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya akan meneruskan operasi secara berterusan untuk membanteras pesalah lalu lintas yang sering mengabaikan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 3:19 PM